Blog Berita Online

Berita Utama

16 jemaah langgar SOP solat Isyak disiasat

KOTA BHARU – Polis menjalankan siasatan berhubung 16 jemaah melanggar prosedur operasi standard (SOP) solat berjemaah di sebuah surau di Kampung Batu 6, Pengkalan Chepa, malam kelmarin.

Solat berjemaah dipercayai ketika waktu Isyak itu turut membabitkan dua kanak-kanak.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud, berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam memaklumkan penduduk mengadakan solat berjemaah di surau itu kelmarin.

“Susulan laporan itu polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Peraturan 17(1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

“Siasatan lanjut berhubung kejadian itu akan dilakukan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdul Rahim berkata, siasatan awal mendapati semua jemaah melanggar SOP ketika perintah kawalan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Kita akan mengambil keterangan semua jemaah itu untuk siasatan lanjut sebelum kompaun dikeluarkan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) mengeluarkan arahan hanya empat jemaah terdiri daripada ahli jawatankuasa masjid dan surau dibenarkan menunaikan solat fardu sepanjang tempoh perintah kawalan PPN bermula 1 Jun lalu.

Leave a Reply