Berita Utama

2 maut, 3 parah kereta bertembung di Gua Musang

GUA MUSANG – Dua maut dan tiga parah apabila dua kereta bertembung di Kilometer 21 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Rantau Manis, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 5.15 petang itu, mangsa yang maut ialah Mohammad Zani Zakaria, 32, yang juga pemandu kereta Proton Wira dan penumpang belakang kereta berkenaan, Alia Azizan Mohd Razali, 21.

Seorang lagi ahli keluarga mereka yang juga penumpang hadapan kereta itu, Atiha Adila Mohd Razali, 26, dilaporkan parah.

Turut parah dalam kemalangan itu ialah pemandu kereta Proton Satria, Mohamad Baharudin Mohamed, 28, dan penumpangnya, Muhammad Fahmi Ab Malek, 32.

Difahamkan, Alia Azizan dilaporkan maut di tempat kejadian kerana parah di kepala dan badan manakala Mohamamad Zani pula meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Gua Musang (HGM).

Kemalangan maut berkenaan disahkan Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo.

Menurutnya, kemalangan itu berlaku ketika hujan lebat.

Mengulas lanjut, katanya, kereta Proton Satria dinaiki dua lelaki dari Gua Musang menghala ke Kuala Krai dilaporkan hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Proton Wira itu.

“Kemalangan menyebabkan kereta Proton Wira dinaiki tiga mangsa terbalik ke dalam longkang dan seorang daripada mereka tersepit.

“Sepasukan anggota bomba terpaksa dipanggil bagi mengeluarkan mangsa tersepit dalam kereta berkenaan,” katanya.

Sik berkata, tiga mangsa yang cedera menerima rawatan di HGM dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke bilik forensik HGM untuk bedah disiasat.

Tambahnya, siasatan awal mendapati pemandu kereta Proton Satria memandu secara melulu dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!