Berita Utama

20 lembu ditemukan mati bergelimpangan dalam kebun sawit

BOTA – Seorang penternak kerugian RM55,000 selepas 19 lembu ternakannya ditemui mati dalam keadaan mencurigakan di ladang sawit Kampung Sungai Tareh dekat Lambor Kanan, Bota, semalam.

Dalam kejadian pada 10 pagi itu, seekor lagi lembu turut mati, namun pemiliknya belum dapat dipastikan.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso, berkata lelaki berusia 42 tahun itu menemui 20 lembu mati bergelimpangan dalam keadaan mulut berbuih dan kesan darah keluar menerusi hidung.

“Penternak itu mendapati 19 daripada lembu terbabit adalah kepunyaannya manakala seekor lagi belum dapat dipastikan pemiliknya.

“Tempat kejadian adalah ladang hak milik persendirian seluas empat ekar yang baharu ditanam anak pokok sawit pada April 2020. Ladang itu adalah milik orang lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Barudin berkata, siasatan polis mendapati lelaki terbabit menternak kira-kira 200 lembu secara lepas bebas.

“Jabatan Perkhidmatan Veterinar sudah dimaklumkan dan turut sama menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kematian lembu berkenaan sama ada disebabkan perbuatan khianat, penyakit atau sebab lain.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan membunuh atau mencacatkan haiwan,” katanya.

Loading...

Leave a Reply