KUALA LUMPUR: Pengacara dan personaliti TV3, Ahmad Fedtri Yahya kehilangan abang tersayang, Zahari Othman, 51, selepas bertarung dengan COVID-19.
Tambah menyedihkan hos program Jejak Rasul itu, isteri dan dua anak mereka turut disahkan positif COVID-19 dan menjalani rawatan.
Ahmad Fedtri berkata, abangnya menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 11 pagi tadi di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.
“Ini hari ke-10 arwah abang saya bertarung nyawa dengan COVID-19. Namun, Allah lebih menyayanginya.
“Selepas pemergian ibu ke Rahmatullah, sudah tiga adik-beradik termasuk arwah abang meninggal dunia. Saya ada 10 beradik…. Tinggal tujuh orang sekarang,” katanya kepada BH Online.
Ahmad Fedtri berkata, arwah abangnya meninggalkan balu dan dua anak.
“Lebih menyedihkan, mereka juga disahkan positif COVID-19 dan melakukan kuarantin kendiri di rumah,” katanya.
Tambah Ahmad Fedtri, arwah paling akrab dengannya.
“Ketika saya mula bekerja di TV3 pada 2003, arwah banyak membantu. Ketika itu, saya belum ada kenderaan sendiri.
“Kalau pulang lewat dari kerja, arwahlah yang tidak lokek menjemput saya di TV3. Malah, beberapa bulan saya menumpang di rumahnya,” katanya.
Ahmad Fedtri berkata, proses pengebumian jenazah masih belum diputuskan.
“Dengan kes harian naik mendadak dan prosedur tertentu perlu dipatuhi dalam menguruskan kematian pesakit COVID-19, proses pengebumian arwah belum dapat disahkan.
“Saya harap semua urusan dapat dipercepat dan dipermudahkan,” katanya.
Leave a Reply