MACHANG – Hasrat seorang Penolong Pegawai Pejabat Tanah Jajahan Pasir Mas untuk membawa keluarga menghadiri majlis solat hajat di rumah adiknya tidak kesampaian apabila kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 26.5, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.48 malam itu, Muhammad Raimi Rajami, 35, yang memandu kereta jenis Subaru Wagon meninggal dunia di lokasi kejadian manakala isterinya Siti Nurul Hidayah Mohd. Kamel, 37, bersama tiga anak mereka berusia setahun, dua dan enam tahun cedera ringan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Mohd. Zahir Abdullah berkata, siasatan awal mendapati, kereta yang dipandu Muhammad Raimi bersama keluarganya sedang dalam perjalanan dari Machang untuk menghadiri majlis solat hajat di rumah adiknya di Tunjong, Kota Bharu.
Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta jenis Perodua Axia dipandu seorang lelaki bersama lima penumpang di laluan bertentangan dipercayai hilang kawalan selepas melanggar sebelah kanan sebuah lori.
“Insiden itu menyebabkan kereta tersebut masuk ke laluan sebelah sebelum bertembung dengan kereta dipandu mangsa.
“Muhammad Raimi disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala isteri dan tiga anaknya cedera ringan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohd. Zahir, bagaimanapun, pemandu kereta jenis Perodua Axia dan kesemua penumpangnya hanya cedera ringan dalam nahas tersebut.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Machang di sini untuk dibedah siasat.
“Siasatan lanjut mendapati, kemalangan berpunca daripada pemandu kereta jenis Perodua Axia yang memandu secara melulu dan berbahaya,” katanya.
Tambah Mohd. Zahir, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE
Leave a Reply