AZWAN Omar, 30, hari ini mengesahkan dirinya sudah menerima sebuah kenderaan pacuan empat roda atau 4X4 seperti yang dijanjikan usahawan Shalicious Empire Sdn. Bhd., Sha Hassan pada pukul empat petang hari ini di rumahnya di Alor Gajah, Melaka.
Dia yang dikenali sebagai Abang Viva ketika dihubungi UtusanTV memaklumkan kenderaan itu dihantar sendiri oleh usahawan berkenaan ke rumahnya.
“Dia (Sha) hantar sendiri dari Bangi ke sini (Alor Gajah),” katanya yang menerima sebuah Mitsubishi Triton.
Beberapa hari lepas, Azwan turut menerima sebuah motosikal Yamaha XJ6S dan beberapa aksesori sebagai tanda penghargaan kepada jasanya.
Memetik laporan Mekanika Azwan dikatakan sangat gembira dengan pemberian motosikal berkenaan.
“Sudah tentu saya sangat gembira apatah lagi ada orang yang menghargai usaha kecil dilakukan.
“Buat masa ini, saya perlu merahsiakan dahulu siapa yang menghadiahkan jentera berkenaan. Saya akan meminta kebenaran dahulu dan akan umumkan dalam platform media sosial saya kelak,” katanya.
Jentera berkenaan merupakan pemberian seseorang sebelum diserahkan ICITY Motoworld Sdn. Bhd. yang terletak di Shah Alam, Selangor kepada Azwan.
Kisah dirinya tular selepas membantu mangsa-mangsa banjir di Shah Alam bulan lepas dengan hanya berbekalkan RM50.
Dia kemudiannya mendapat tawaran daripada Sha Hassan yang ingin memberikan sebuah kenderaan 4X4, tetapi Azwan berkata dirinya hanya akan menerima sekiranya tiada sebarang syarat diletakkan.
Leave a Reply