Berita Utama

Ahli Parlimen DAP puji pelan subsidi gaji Singapura lebih bagus dari Malaysia

PUTRAJAYA mampu menyelamatkan lebih banyak pekerjaan jika mencontohi skim subsidi upah dilaksanakan Singapura dengan memperuntukkan lebih banyak dana bagi membantu lebih ramai orang dan syarikat, kata seorang ahli Parlimen pembangkang.

Dr Ong Kian Ming daripada DAP berkata subsidi gaji diterima di Malaysia adalah rendah kerana hanya mensasarkan kumpulan tertentu sementara banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengalami kesulitan.

“Pemeriksaan lebih mendalam mengenai statistik tenaga kerja menunjukkan jumlah subsidi upah yang diberikan tidak cukup menarik bagi kebanyakan PKS.

“Program ini mampu menyelamatkan lebih banyak pekerjaan jika jumlah subsidi lebih tinggi sama seperti jumlah diberikan di Singapura,” kata Ong, ahli Parlimen Bangi, dalam satu kenyataan hari ini.

Singapura memberi subsidi upah 75% ketika pelaksanaan “pemutus litar” republik itu dan melanjutkan program ini hingga Ogos 2020. Ia membayar SGD16 bilion kepada 2 juta pekerja, daripada kira-kira 3.8 juta tenaga kerjanya.

Ini bermakna Singapura memberi subsidi upah sebanyak 53% daripada tenaga kerjanya, sedangkan hanya 2.6 juta atau 25% tenaga kerja Malaysia mendapat subsidi upah Putrajaya, kata Ong.

Malaysia membelanjakan RM8.97 bilion bagi 311,191 syarikat setakat 24 Julai, menurut data kerajaan.

Bagaimanapun, terdapat 1.36 juta syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia pada 30 Jun.

Tidak seperti program subsidi gaji Singapura yang menetapkan jumlah bantuan sebanyak 75% daripada gaji yang diterima, Putrajaya memperuntukkan RM1,200 setiap pekerja selama tiga bulan kepada syarikat dengan pekerja kurang 76 orang.

Ong berkata, kebanyakan syarikat di Malaysia tidak memohon subsidi gaji kerana menganggap jumlah itu tidak mencukupi dan tiada pilihan lain selain mengecilkan saiz operasi mereka.

“Kemungkinan besar majoriti syarikat tidak memohon program ini mungkin kerana tidak mempunyai pilihan selain mengurangkan jumlah pekerja ketika tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP),” kata Ong.

“Akibatnya, kadar pengangguran di Singapura naik sedikit daripada 3.3% pada suku pertama 2020 kepada 3.9% pada suku kedua 2020.

“Sebagai perbandingan, kadar pengangguran Malaysia naik dari 3.5% pada suku pertama 2020 kepada 5.1% pada suku kedua 2020,” tambahnya.

Ong juga mempersoalkan keberkesanan usaha kerajaan Perikatan Nasional untuk menyelamatkan industri pelancongan.

Dengan hanya RM1 bilion yang diperuntukkan di bawah Pembiayaan Pelancongan Penjana, hanya 10,000 syarikat mendapat manfaat, dengan mengandaikan pinjaman purata sebanyak RM100,000 bagi setiap syarikat. – 21 Ogos, 2020.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!