Berita Utama

Akibat seronok ziarah raya, 127 positif Covid-19

RENTAS negeri sebelum Aidilfitri, melakukan ziarah serta kunjung mengunjung punca utama berlakunya Kluster Kampung Matang, Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Paling menyedihkan, Kluster Kampung Matang merebak ke tiga tempat lain iaitu Felcra Bukit Kepah, Kampung Tengkawang dan Kampung Pulau Kudat dan kes dilaporkan masih aktif.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata, akibat rentas negeri dan kegembiraan melakukan kunjung mengunjung, daripada hanya dua keluarga, 19 individu disahkan positif Covid-19.

“Selepas habis beraya, masuk kerja dan tanpa disedari virus Covid-19 menjangkiti rakan sekerja dan paling merisaukan sudah ada jemaah masjid dijangkiti… akhirnya jangkitan bersambung,” katanya melalui catatan Fabebook hari ini.

Dr Nor Azimi berkata, seramai 127 kes positif dikesan dari kluster itu dan terkini merebak hingga ke generasi ke lima.

“Kontak rapat daripada kes itu adalah seramai 725 orang, tidak termasuk saringan bersasar membabitkan tiga kampung. Masih terdapat 927 sampel yang sedang menunggu keputusan hasil ujian calit penduduk.

“Kita berpendapat tidak apa jika jangkitan hanya babitkan keluarga saja sebab pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam keluarga diakui sangat sukar namun jika membabitkan beberapa keluarga lain, jiran tetangga dan pejabat akhirnya merebak hingga ke beberapa kampung… rasa kesal dan nak marah sangat sebenarnya,” katanya.

Dr Nor Azimi berkata, kluster baharu dijangka akan tumbuh seperti cendawan jika gagal mematuhi SOP.

“Jika keadaan seperti yang berlaku sehingga wujudnya Kluster Kampung Matang, mampukah kita melandaikan lekuk epid dalam tempoh dua minggu?

“Seluruh masyarakat perlu mengambil iktibar bahawa jika pematuhan SOP dipandang ringan dan secara berterusan dilanggar, akibatnya kita semua yang akan tanggung. Jika nak buat sesuatu tolong fikirkan orang lain, jaga orang lain dan jangan fikirkan diri sendiri saja,” katanya.

Dr Nor Azimi berkata, beliau turun ke Hulu Terengganu meninjau aktiviti saringan bersasar di Felcra Bukit Kepah dan melihat wajah merah petugas kesihatan berpakaian pakaian perlindungan diri (PPE) disebabkan bahang kepanasan dan penduduk terpaksa menjalani proses calitan juga berpeluh menunggu di bawah kanopi.

Katanya, paling menyedihkan kanak-kanak menangis ketika proses calitan pada hidung dilakukan.

“Kita terpaksa melakukan calitan bagi mengenal pasti sama ada berlaku jangkitan virus Covid-19 dalam keadaan dewan yang tidak berhawa dingin dalam keadaan bahang panas.

“Masyarakat tolonglah memahami kesusahan kita semua jika pandemik Covid-19 berterusan, tolong jangan pentingkan diri sendiri kerana akibatnya akan memudaratkan orang lain,” katanya.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!