Berita Utama

Aktivis pro DAP ditahan ganggu tugas polis

SHAH ALAM – Seorang lelaki ditahan kerana mengganggu tugas polis yang melakukan serbuan di sebuah rumah di Jalan 17/48 di sini, petang tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, semasa pihaknya melakukan serbuan berkaitan siasatan membabitkan kes Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (UMANY) di bawah Akta Hasutan, lelaki berusia 24 tahun itu telah mengganggu tugas polis dengan membuat rakaman video dan menyiarkan melalui Facebook Live.

“Setelah amaran diberi dan tidak diendahkan, pihak polis telah menahannya dan rampas telefon bimbit daripada lelaki tersebut kerana kesalahan menghalang tugas penjawat awam.

“Lelaki terbabit telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, satu hantaran memaklumkan aktivis pelajar, Wong Yan Ke ditahan polis selepas merakam video ketika pihak polis membuat serbuan di rumah Presiden UMANY, tular di media sosial, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan polis menjalankan siasatan terhadap Wen Qing mengikut Akta Hasutan 1948 berhubung kenyataan kontroversi mengenai peranan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!