Berita Utama

Aktiviti memancing lima sekawan berakhir dengan seorang dikhuatiri lemas

KUALA TERENGGANU – Pelajar lelaki tingkatan dua dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Terengganu dekat Kampung Seberang Tuan Chik, di sini 2.45 petang hari ini.

Danial Danish Mohd Jasmin, 14, dari Sekolah Menengah Pelong, Setiu sebelum kejadian dikatakan ke kawasan itu untuk mandi bersama lima rakan.

Rakan mangsa, Muhammad Aniq Syahmi, 16, mendakwa mereka kerap mandi di sungai berkenaan namun mangsa kurang mahir berenang.

Berikutan itu katanya, mangsa panik apabila dibawa arus ketika berenang untuk berpatah balik ke tebing.

“Ketika itu dia mandi pada jarak kira-kira lima meter dari tebing manakala saya bersama dua lagi rakan mandi di tepi dan seorang lagi memancing di kawasan sama,” katanya ketika ditemui.

Muhammad Aniq berkata, susulan kejadian dia cuba menyelamatkan mangsa dengan memaut tangan tetapi terlepas.

“Ketika itu saya juga sudah kehabisan nafas,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 3 petang sebelum bergegas ke lokasi.

Katanya, 14 anggota dan pegawai bergegas ke lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

“Operasi kini giat dilakukan bagi mencari mangsa,” katanya.

Loading...

Leave a Reply