Berita Utama

Aktiviti pub, kelab malam masih kesalahan tertinggi ingkar PKP – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR – Seramai 293 individu ditahan polis semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Daripada jumlah itu, seramai 269 individu telah dikompaun manakala 24 individu direman.

Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesalahan ingkar paling tinggi ialah aktiviti dalam pub atau kelab malam iaitu 124 orang.

Kesalahan lain termasuk penjarakan fizikal (85), gagal menyediakan peralatan/rekod butiran diri (31), tidak memakai pelitup muka (24), premis beroperasi lebih masa (10), tangkapan pendatang asing tanpa izin (9), premis beroperasi tanpa kebenaran (6), keluar rumah tanpa alasan munasabah di kawasan PKPD (2) dan gagal lunaskan caj kuarantin (2).

Menurut beliau, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 54,825 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Sebanyak 2,475 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 11,016 anggota telah membuat pemantauan di 3,507 pasar raya, 4,767 restoran serta 1,205 penjaja, 1,164 kilang, 3,292 bank dan 531 pejabat kerajaan.

Pemantauan juga dilaksanakan di 1,060 terminal pengangkutan darat, 189 terminal pengangkutan air serta 74 terminal pengangkutan udara.

Tambah Ismail, Operasi Benteng semalam juga telah berjaya menangkap 75 pendatang asing tanpa izin, lima penyeludup dan dua tekong serta merampas empat kenderaan. – MalaysiaGazette

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!