ANGGOTA polis yang menderita kanser rahang, Koperal Azmi Kamarudin, 34, meninggal dunia di kediamannya, di Taman Bertam Perdana, Kepala Batas, pagi ini.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menerusi Facebook beliau sebentar tadi.
“Dukacita dimaklumkan Koperal Azmi Kamarudin telah meninggal dunia sebentar tadi. Salam takziah buat keluarga Allahyarham.
“Marilah sama-sama kita doakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. InsyaAllah,” tulisnya.
Terdahulu, media melaporkan hasrat anggora polis berusia 34 tahun itu untuk bertemu dengan bekas rakan setugas tercapai selepas menerima kunjungan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), semalam.
Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor meluangkan masa kira-kira 30 minit menziarahi Azmi, selain turut menyampaikan sumbangan lampin pakai buang beserta barangan keperluan lain.
Beliau berkata, Azmi adalah bekas anggota yang pernah bertugas di Bahagian Stor Barang Kes Berpusat di Kepala Batas sebelum bertukar ke Bahagian Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.
Isteri Azmi, Korporal Noor Ifa Md. Sukari, 36, berkata kesihatan suaminya mula merosot pada Jumaat lepas dan mendapat rawatan di Hospital Kepala Batas namun dinasihatkan supaya dibawa pulang kerana bimbang wabak COVID-19 boleh membahayakan nyawanya.
Katanya, Azmi disahkan menghidap barah rahang pada 2018 oleh doktor di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan menjalani pelbagai rawatan antaranya radioterapi di Hospital Pulau Pinang namun terpaksa dihentikan kerana tidak sesuai.
“Suami kini tidak lagi mampu menguruskan diri selain bergantung harap kepada saya dan juga ibu bapa mentua yang datang dari Betong, Sarawak pada 26 Dis lepas semata-mata ingin berada di samping Azmi.
“Pada Jumaat lepas, dia dah mula kurang makan dan bergantung kepada susu. Doktor juga menasihatkan supaya suami dibawa pulang disebabkan situasi COVID-19,” katanya yang bertugas di IPD SPU.
Semoga Allah merahmati rohnya dan menempatkan Allahyarham dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah..
Leave a Reply