Berita Utama

‘Alhamdulillah, Hafizh okay’ – Isteri

Isteri pelumba Moto2 negara, Noor Suzana Abdul Manaf meluahkan rasa syukur selepas suaminya, Hafizh Syahrin disahkan selamat dan masih mampu memberikan senyuman.

Suzana berkongsi rakaman video perkembangan Hafizh, 26, di akaun Instagram Story, yang memaparkan pelumba negara itu menunjukkan isyarat bagus ketika terlantar di atas katil hospital.

“Alhamdulillah, Hafizh okay. Terima kasih kepada semua yang mendoakan Hafizh,” kata Suzana dalam video yang dimuat naik sebentar tadi.

Terdahulu, jurucakap pasukan Aspar, Jorge Martinez menyatakan rasa terkejut sebaik melihat kemalangan yang berlaku ketika perlumbaan pusingan Grand Prix Austria di Litar Red Bull Ring itu.

Pasukan itu tidak menyangka pelumba yang terlibat dalam kemalangan itu adalah Hafizh dan keadaan menjadi sedikit cemas sebaik identitinya diketahui.

“Pada awalnya kami tidak tahu adakah itu Hafizh. Ketika kami melihat bahawa pelumba itu adalah Hafizh, kami sangat takut kerana mereka tidak menunjukkan gambar (perkembangan lanjut) di televisyen.

“Saya bersamanya di pusat rawatan litar dan perkara pertama yang diberitahu oleh doktor kepada saya ialah dia sedar dan (kemalangan itu) tidak memberi kesan teruk di bahagian kepalanya.

“Semua imbasan yang dilakukan juga menunjukkan Hafizh tidak mengalami sebarang pendarahan dalaman dan tiada tulang yang patah atau seumpamanya,” jelas Martinez menerusi satu kenyataan.

Dalam pada itu, pelumba Moto2 Itali, Enea Bastianini berasa sangat kesal dengan apa yang berlaku dan mendoakan kesejahteraan Syahrin.

Bastianini rasa sangat kesal selepas yang jentera yang dinaikinya tergelincir di selekoh pertama pusingan keempat sehingga mengakibatkan beberapa pelumba lain turut mengalami kemalangan.

Loading...

Leave a Reply