TUMPAT – “Bangun tidur pagi ini terasa agak janggal kerana sudah tiada lagi suara tiga anak perempuan saya bertanyakan apa yang ingin dimakan untuk sarapan,” kata bapa kepada tiga beradik yang terkorban akibat renjatan elektrik di Kampung Bendang Surau, Morak di sini, semalam.
Mohd Nadzir Mohamed, 67, berkata sudah menjadi kelaziman tiga anak perempuannya itu untuk menyediakan makan minum mereka sekeluarga dan sentiasa bertanya apa yang ingin dimakan.
“Semua anak perempuan saya terutama Nurul Syazwani, memang ringan tulang menyediakan makanan untuk kami sekeluarga dan ada sahaja yang dia masak selain bertanyakan dahulu apa yang ingin saya makan.
“Fathiah dan Sakinah juga pandai membuat kuih muih malah menjadi rutin saya menghantar kuih mereka untuk dijual ke kedai kopi setiap pagi.
“Memang sangat terasa dengan kehilangan mereka bertiga dan Allah SWT ambil semua anak perempuan saya. Kini hanya tinggal (anak) lelaki sahaja seramai lima orang tapi, kami tetap reda dengan ketentuan-Nya,” katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.
Dalam kejadian 11.45 pagi semalam, tiga beradik iaitu Nurul Syazwani Mohd Nadzir, 33, serta dua adiknya, Sakinah 29, dan Noor Fathiah, 27, maut terkena renjatan elektrik selepas menyentuh tiang di rumah jiran yang digenangi banjir.
Ketiga-tiga mereka dikatakan ingin melihat paras air di sekitar rumah dan sempat merakamkan gambar kenangan serta berkongsi di kumpulan WhatsApp keluarga sebelum berlaku tragedi.
Jenazah tiga beradik itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Morak, di sini pada 11.45 malam tadi dalam satu liang.
Menurut Mohd Nadzir bayangan tiga anak perempuannya terbaring di dalam air dalam keadaan sudah tidak bernyawa masih menghantui dirinya, malah dia sedikit terkilan kerana tidak mampu berbuat apa-apa sehingga pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) tiba untuk memutuskan bekalan elektrik.
Mengenai video kejadian itu yang tular, dia merayu agar dihentikan tindakan itu bagi menjaga perasaan mereka sekeluarga.
“Tiada rasa marah atau dendam, cuma saya mohon agar tidak lagi ditularkan video yang memaparkan keadaan anak-anak saya bergelimpangan di dalam air, ia sangat memilukan kami,” katanya.
Terdahulu keluarga itu menerima kunjungan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun yang hadir bertanya khabar dan menyampaikan sumbangan peribadi serta barang keperluan.
Leave a Reply