Blog Berita Online

Uncategorized

‘Ya Allah, anak aku..’ – Luluh hati bapa, anak tersayang maut jatuh tingkat lima apartmen

SEREMBAN: Luluh hati seorang bapa apabila menyedari bunyi kuat objek jatuh yang didengari rupanya anak perempuannya sendiri yang dipercayai terjatuh dari Apartment Taman Bukit Inai, Nilai malam tadi sebelum disahkan meninggal dunia.

Rusazuan Azmi, 33, bapa saudara kepada mangsa remaja perempuan berusia 13 tahun berkata, ketika kejadian dia baru sahaja tiba di rumahnya di blok bersebelahan sebelum dihubungi abangnya Rusazli Azmi, 40-an kira-kira jam 9.30 malam.

“Abang saya memaklumkan anaknya terjatuh sebelum saya bergegas ke kawasan blok apartmentnya. Ketika tiba anak saudara saya masih lagi bergerak dan seperti menahan kesakitan.

“Saya menyangka dia mungkin hanya terjatuh dari tempat rendah kerana tiada sebarang pendarahan sebelum menghubungi talian kecemasan,” katanya ketika ditemui Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini.

Rusazuan berkata, ketika kejadian, abangnya sedang mencari remaja berkenaan di kawasan sekitar apartment selepas dipercayai keluar dari rumah sebelum terdengar objek terjatuh.

“Daripada apa yang diceritakan abang, anaknya keluar ketika dia sedang berniaga lalu keluar semula untuk mencari arwah. Secara tiba-tiba abang mendengar bunyi objek jatuh sebelum mendapati arwah sudah terbaring di lantai.

“Tiada sesiapa yang nampak arwah terjatuh dari tingkat berapa. Bagaimanapun, selepas membuat pemeriksaan, saya menemui selipar dan telefon bimbitnya di bumbung apartment berhampiran tangki air setinggi kira-kira 12 meter,” katanya.

Rusazuan berkata, remaja berkenaan tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kejadian, malah tidak mempunyai masalah dengan ibu bapanya dan meminta orang ramai supaya tidak membuat kesimpulan sendiri berhubung kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan siasatan masih dijalankan.

“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Leave a Reply