Blog Berita Online

Berita Utama

Anak Mahathir beli syarikat bernilai RM248 juta diusia 33 tahun

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak kembali membidas Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa anak-anaknya tidak pernah menjalankan perniagaan sepanjang 22 tahun beliau menjadi Perdana Menteri.

Najib melalui laman Facebook sebentar tadi berkata pada tahun 1992 ketika Mahathir menjadi Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, anaknya Datuk Seri Mirzan Mahathir telah membeli sebuah syarikat milik kerajaan dengan harga sebanyak RM248 juta.

“Pada tahun 1992, Mirzan cuma berusia 33 tahun. Dia beli Perbadanan Nasional Shipping Line (PNSL) Berhad dengan harga RM248 juta iaitu antara syarikat perkapalan terbesar dalam negara (pada) masa itu.

“Perbadanan Nasional merupakan syarikat milik penuh kerajaan Malaysia (dan) pemegang saham utama Perbadanan Nasional ketika itu adalah Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia dan Bank Bumiputera Malaysia.

“Mirzan umur 33 tahun beli PNSL Bhd dari syarikat milik penuh kerajaan dengan harga RM248 juta itu maksudnya tak niaga dalam Malaysia dan tak berurusan dengan kerajaan masa dia PM ke?

“Syarikat perkapalan utama milik kerajaan pun bertukar menjadi syarikat milik anak PM pada masa dia masih PM,” ujar Najib.

Najib kemudiannya berkata syarikat tersebut kemudiannya dijual pula (bail out) kepada sebuah syarikat milik kerajaan ketika negara mengalami krisis mata wang.

“Dari mana dia dapat atau dari siapa dia pinjam RM248 juta untuk beli masa dia umur 33 tahun?

“Lepas itu dijual pulak kepada MISC dengan harga US$220 juta pada tahun 1998 (melebihi RM1 bilion selepas matawang kita menjunam teruk ketika itu).

“MISC Berhad itu milik Petronas. Petronas milik siapa? Itupun dikatakan lagi anak PM7 tak niaga dalam Malaysia dan tak berurusan dengan kerajaan masa dia PM ke? soal Najib lagi.

Mahathir sebelum ini berulang kali menegaskan anak-anaknya tidak pernah berniaga atau mendapat sebarang projek dari kerajaan.

Menurut Mahathir anak-anaknya hanya memulakan perniagaan setelah dirinya meletakan semua jawatan di dalam kerajaan.

Bagaimanapun menurut Najib, kesemua jawapan yang diberikan beliau itu telah dipadamkan oleh pengendali laman Facebook Mahathir.

“Tohmahan apa? Hari itu, PM7 sendiri yang kata dia tak pernah membenarkan anak-anak dia berniaga dalam Malaysia semasa dia PM.

“Lalu dia suruh saya beri bukti bahawa anak-anak dia pernah berurusan dengan kerajaan semasa dia PM.

“Saya pun beri bukti tetapi page FB PM4/7 asyik padam jawapan saya dan ribuan komen netizens yang bertanya,” jelasnya lagi.

Sehingga kini Mahathir masih berdiam diri berhubung pendedahan yang dibuat oleh Najib itu.

Leave a Reply