Blog Berita Online

Berita Utama

Anak main pemetik api, habis satu rumah terbakar

MARAN – Perbuatan seorang kanak-kanak berusia enam tahun bermain pemetik api dipercayai punca sebuah rumah rumah di Jengka 8 di sini terbakar semalam.

Dalam kejadian pada pukul 5 petang itu, seorang warga emas yang berusia 80 tahun nyaris maut selepas terperangkap dalam kebakaran tersebut.

Mangsa bagaimaanpun dapat diselamatkan penduduk kampung yang membawanya keluar semasa api marak.

Razali Mohd. Azman, 56, berkata, kejadian dipercayai bermula dari ruang tamu berpunca daripada anaknya yang berusia enam tahun bermain pemetik api.

“Seorang lagi anak saya berusia 14 tahun yang berada di tandas menyedari kejadian ini lalu berlari keluar melalui pintu dapur.

“Anak saya yang berusia enam tahun juga sempat menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di Jengka 8 semalam.

Menurut Razali, semasa kejadian, dia berada di ladang kelapa sawit bagi menguruskan lembu manakala isterinya keluar ke bandar bagi membeli barangan keperluan.

Kejadian itu menyebabkan keluarga Razali tinggal sehelai sepinggang selepas lebih 90 peratus rumahnya musnah bersama sebuah motosikal yang baru dibelinya empat bulan lalu.

“Pada mulanya saya hendak menunggang motosikal baharu ke ladang, namun menukar fikiran menunggang motosikal lama.

“Saya reda dengan ujian ini meskipun baru menggantikan barang-barang selepas rumah ditenggelami air banjir baru-baru ini tetapi kini semuanya musnah dalam kebakaran,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Badan Masjid Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, pada masa ini keluarga mangsa ditempatkan sementara di rumah inap desa Masjid Jengka 18 sehingga rumah baharu dibina.

Gabungan Masjid Wilayah Felda bersama pemimpin setempat, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan serta pihak swasta telah tampil menghulurkan bantuan.

“Semua masjid di Felda Wilayah Jengka juga membuat kutipan bagi membantu membina semula rumah mangsa membolehkan mereka kembali hidup seperti biasa,” katanya. – K! ONLINE

Leave a Reply