Berita Utama

Anak Mejar Zahir dengan isteri pertama tiada pembelaan

KUANTAN – Sudahlah tiada pembelaan malah dua anak Allahyarham Mejar Mohd. Zahir Armaya trauma sehingga menga­lami masalah psikologi kerana kerap diejek ekoran kematian bapa mereka.

Bekas isteri Allahyarham, Ja­milah Ismail, 38, berkata, dia sedih mengenang nasib dua anaknya, Mohamad Remy Iskandar Mohd. Zahir, 9, dan Mohamad Ebel Zulkarnain, 10, yang terabai.

“Inikah nasib anak pegawai yang mempunyai pangkat dalam tentera? Sejak arwah bapa mereka meninggal, kehidupan dua anak terabai dan langsung tiada bantuan diterima.

“Satu Malaysia dimaklumkan pelbagai bantuan disalurkan atas nama balu Allahyarham dan anak-anaknya tetapi tapi anak-anak saya, satu sen pun tidak terima bantuan yang disumbangkan itu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Mohd. Zahir yang juga merupakan anak pelakon dan pengarah veteran, A.R. Badul, seorang anggota komando meninggal dunia ketika melakukan demonstrasi keupayaan sempena pelancaran penubuhan Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div) di Kem Kok Lawi, Sabah.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan A.R. Badul menolak dakwaan mahu membolot harta anaknya dengan menjelaskan dia hanya mahu menuntut haknya sebagai bapa.

A.R. Badul atau nama sebenarnya Armaya Aman Ramlie, 71, berkata, buat masa ini dia tidak kisah jika ada pihak yang mengambil kesempatan mengecam dirinya memandangkan dia hanya memikirkan keadaan cucu-cucunya.

Jamilah berkata, setakat ini, dua anaknya hanya menerima pencen arwah suaminya, bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM200 dan bantuan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) sebanyak RM500 termasuk RM200 dalam bentuk baucar atas namanya sebagai ibu tunggal.

Jelasnya, daripada segi sumbangan yang disalurkan oleh netizen dan pelbagai pihak menerusi akaun bank balu Allahyarham, dua anak lelakinya itu satu sen pun tidak menerimanya.

“Itu saya tidak kisahlah kera­na itu duit netizen dan orang ramai. Tapi yang saya sedih duit insurans milik arwah sendiri. Kenapa anak saya tiada hak?

“Jika anak arwah dengan balunya layak mendapat haknya, kenapa anak saya yang juga anak arwah tidak layak dapat duit insurans itu?,” soalnya.

Menurutnya, sebagai ibu tunggal, dia kini bekerja sebagai tukang masak dengan gaji hari RM50 dan perlu menanggung dua anaknya itu.

Jadi katanya, bantuan begitu diperlukannya bagi menyara dua anaknya kerana difahamkan sumbangan untuk mereka berdua banyak diterima daripada pelbagai pihak.

Tentang anaknya yang trauma, Jamilah berkata, anaknya terutama Mohamad Remy Iskandar cukup terkesan ekoran kematian bapanya.

“Sudah hampir dua tahun arwah meninggal dunia tapi anak arwah masih trauma. Pergi sekolah pun anak tidak mahu kerana kerap diejek. Kenapa ayah kau mati ditembak, ayah kau jahat ke?

“Ia cukup memberikan kesan kepada anak bongsu saya sampai dia pernah cakap dia gila sebab kena makan ubat penenang,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!