Berita Utama

‘Ayah masuk hospital bukan elak kes mahkamah, dia benar-benar sakit’ – Nurul Zahid

PETALING JAYA: Anak Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi tampil mempertahankannya selepas timbul spekulasi mendakwa beliau berpura-pura dimasukkan ke hospital untuk mengelakkan kes rasuahnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi.

Nurulhidayah Zahid memuat naik satu rakaman video selama 48 saat di Instagram hari ini yang menunjukkan Zahid ditolak ke bilik pembedahan untuk dibedah sebagai bukti bagi menyangkal spekulasi itu.

“Fitnah di hujung jari. Ini video pagi tadi sewaktu abah (Zahid) dibawa ke OT (bilik pembedahan).

“Saya tergerak hati nak rakamkan secara sembunyi tanpa pengetahuan abah sebab saya tahu ini akan jadi bukti kepada umum bila ia diperlukan.

“Sangkaan saya amat tepat. Belum pun abah selesai di OT, berita fitnah tersebar yang dia sedang ‘berehat’ di hospital untuk elak kes mahkamah.

“Tak masuk akal. Benda sakit ni bukan boleh buat-buat,” katanya di Instagram.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi dimaklumkan Zahid tidak dapat menghadiri prosiding penghujahan kes rasuahnya kerana beliau dimasukkan ke hospital.

Peguamnya, Hisyam Teh memberitahu hakim Collin Lawrence Sequerah bahawa Zahid dimasukkan ke hospital Ahad lalu selepas mengalami kecederaan akibat terjatuh minggu lalu.

Zahid menghadapi 47 pertuduhan pecah amanah membabitkan dana milik Yayasan Akalbudi, pengubahan wang dan menerima rasuah untuk pelbagai projek ketika menjadi menteri dalam negeri.

Mahkamah pada asalnya dijadualkan mendengar penghujahan pada akhir kes pendakwaan hari ini dan dari 6 hingga 9 Sept ini.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!