Blog Berita Online

Berita Utama

Anggota ATM tolak suntikan vaksin dipecat, bakal hilang pencen

Seorang anggota tentera berpangkat sarjan yang enggan mengambil suntikan vaksin Covid-19, “diberhentikan secara tidak terhormat”, selepas 19 tahun berkhidmat untuk negara tanpa sebarang rekod disiplin.

Wan Ramly Wan Seman, 39, dari Batalion ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja yang berpangkalan di Kem Rasa, Negeri Sembilan, bakal kehilangan pencen yang layak diperolehnya dalam tempoh 16 bulan lagi.

Arahan pemberhentian perkhidmatan terhadapnya dikeluarkan Kementerian Pertahanan dan akan berkuat kuasa 26 Ogos ini.

Katanya, tarikh penamatan perkhidmatan sepatutnya pada 21 Januari 2023 dan dia sepatutnya melaporkan diri untuk latihan penempatan semula pada Mac tahun depan.

Bapa kepada tiga anak itu memberitahu FMT, dia hanya menggunakan haknya untuk menolak vaksinasi seperti dinikmati setiap warganegara.

“Saya amat kecewa kerana selepas hampir 20 tahun berkhidmat kepada negara tanpa sebarang rekod disiplin, saya dipecat secara tidak terhormat. Saya masih percaya bahawa saya berhak menolak vaksin kerana kerajaan tidak mewajibkannya,” katanya.

Wan Ramly berkata, beliau akan berdepan kesukaran untuk mengurus anak-anaknya yang berusia tiga hingga sembilan tahun, sambil menambah isterinya yang bekerja di sektor swasta menjadi satu-satunya sumber pendapatan keluarga.

Katanya, penderitaannya bermula pada 7 Julai apabila menolak vaksin ketika diarahkan berbuat demikian dan dia kemudiannya menjalani beberapa sesi pertemuan dengan pihak atasan yang cuba meyakinkannya.

“Salah satu sesi adalah dengan sembilan orang daripada mereka termasuk pegawai pemerintah, pegawai bertugas, doktor dan seorang ustaz. Saya diberi tekanan hebat dan dimarahi mereka.

“Pada 10 Julai, saya didakwa di bawah empat seksyen Akta Angkatan Tentera 1972. Ini termasuk tidak mematuhi arahan untuk diberi vaksin yang wajib bagi semua anggota tentera dan hanya dengan mengatakan, “saya betul-betul tidak setuju untuk divaksin’,” katanya.

Wan Ramly berkata, beliau meminta untuk dibicarakan di bawah Mahkamah Tentera tetapi pegawai pemerintah menolak sekeras-kerasnya.

Ketika dihubungi, Presiden Persatuan Patriot Nasional (PATRIOT), Mohamed Arshad Raji berkata, beliau sudah diberi penerangan mengenai kes itu dan berusaha membantu.

“Beliau mungkin melanggar arahan itu tetapi sebagai rakyat yang memiliki hak dalam hal vaksin. Ini tidak wajib bagi rakyat,” katanya.

Katanya, cara terbaik adalah dengan memberinya kursus awal penempatan semula dan beliau dapat menghabiskan masa dengan belajar sebelum menamatkan perkhidmatan.

“Memberhentikannya beberapa bulan sebelum dia layak untuk pencen itu bukan sahaja tidak berperikemanusiaan tetapi agak kejam kerana beliau adalah bapa kepada tiga anak. Ada cara lebih baik untuk menangani seorang askar yang telah menyumbangkan perkhidmatan terbaik ketika masa mudanya kepada negara,” katanya.

Arshad berkata, beliau menangani banyak kes disiplin semasa dalam perkhidmatan tetapi selalu menggunakan belas kasihan dengan mempertimbangkan status keluarga anggota terlibat.

“Sarjan ini tidak melakukan jenayah, kesnya perlu dikaji,” katanya. FMT

Leave a Reply