Berita Utama

Anggota, pegawai polis diingatkan tidak bocorkan maklumat orang awam – Ketua Polis Johor

JOHOR BAHRU: Semua anggota dan pegawai polis Kontinjen Johor diingatkan supaya tidak sesekali membocorkan maklumat yang disalurkan orang awam.

Sebaliknya anggota dan pegawai perlu melindungi orang awam yang menyalurkan maklumat itu.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, anggota atau pegawai yang cuba mendedahkan identiti maklumat peribadi orang awam boleh berdepan dengan tindakan tatatertib.

“Kalaulah ada kebocoran di pihak saya, yang pasti saya akan ambil tindakan dan saya telahpun mengambil tindakan kepada anggota dan pegawai polis yang terlibat dalam membocorkan rahsia.

“Kalau tengok dalam konteks Op Benteng, 14 pegawai dan anggota polis saya tangkap dan ada anggota polis Muar kita tangkap kerana bersekongkol dalam (sindiket) penyeludupan syabu… jadi tindakan saya dah ambil.

“Saya nak bagi amaran pada semua pegawai dan anggota polis Kontinjen Johor, kalau ada bukti mereka sekongkol bocorkan maklumat salurkan orang awam, tindakan tegas akan diambil,” ujar beliau.

Tambahnya, PDRM Johor tidak akan bertolak ansur pada mana-mana anggota mahupun pegawainya yang melanggar integriti kepolisian.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai operasi pemantauan pusat hiburan sekitar Johor Bahru dan Seri Alam awal pagi tadi, bagi memastikan pusat hiburan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Seramai 68 individu telah diperiksa di tiga premis pusat hiburan di sekitar Johor Jaya dan pusat bandar raya.

Daripada jumlah itu, seorang individu yang juga merupakan pemilik premis dikenakan tindakan di bawah seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana mengajikan warga asing tanpa permit dan Seksyen 6 (2) Enakmen Negeri Johor.

Loading...

Leave a Reply