Berita Utama

Anggota PGA maut ditembak sindiket penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand

SEORANG anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand, dekat Padang Besar, maut dipercayai akibat ditembak, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 3.10 pagi itu, mangsa, Koperal Baharuddin Ramli, 54, sedang bertugas bersama seorang lagi anggota PGA, Koperal Norihan A/L Tari, 39, yang mengalami kecederaan parah.

Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar dengan mangsa yang cedera sedang dirawat dan dilaporkan kritikal.

Komander PGA Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji yang dihubungi, mengesahkan kejadian itu dan maklumat lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Sindiket penyeludupan dalang serangan

Sumber memaklumkan, tindakan pihak berkuasa Malaysia mengetatkan kawalan sempadan terutama di Perlis dan Kedah menyebabkan kegiatan penyeludupan menjadi sukar dilakukan.

Beliau berkata, sindiket sama turut dipercayai melepaskan tembakan amaran ke arah anggota PGA yang sedang melakukan rondaan sempadan di Bukit Kayu Hitam, Kedah pada 13 November lalu.

“Kes (tembakan) ini ada kaitan kumpulan penyeludup, ada yang tidak puas hati apabila kita ketatkan sempadan.

“Dua anggota sedang berkawal ketika diserang, ada anggota lain dengar bunyi tembakan,” katanya.

Dalam kejadian pada 3.10 pagi hari ini, anggota PGA) Koperal Baharuddin Ramli, 54, maut terkena tembakan, manakala seorang lagi anggota PGA, Koperal Norihan A/L Tari, 39, parah.

Mereka yang sedang melakukan kawalan di pos sempadan dipercayai diserang dari arah negara jiran oleh anggota sindiket yang kemudiannya melarikan diri.

Tindakan pihak berkuasa mengetatkan kawalan sempadan Malaysia-Thailand sejak Mac lalu, menyebabkan kegiatan penyeludupan terutama membabitkan sindiket dadah dan ketum menjadi lumpuh.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!