Blog Berita Online

Berita Utama

Anggota polis maut dirempuh bas, isteri luah rasa pilu

KUANTAN – Seorang anggota polis maut apabila motosikal ditunggangnya bertembung dengan motosikal lain di laluan bertentangan sebelum dirempuh bas dalam kejadian di KM 16 Jalan Bentong menghala Raub berhampiran simpang Felda Lurah Bilut semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kejadian berlaku pada 12.10 tengah hari dan mangsa Arisham Azahari, 37, yang bertugas di Balai Polis Dong di Raub dalam perjalanan ke Bentong meninggal dunia di tempat kejadian.

“Hasil siasatan polis mendapati motosikal tersebut dari Raub menghala ke Bentong telah cuba memotong kenderaan yang sesak dan melanggar sebuah motosikal di hadapan menyebabkan terjatuh dan masuk ke laluan bertentangan dan dilanggar pula oleh sebuah bas.

“Akibat kemalangan tersebut, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Zaiham, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Justeru beliau meminta mana-mana pihak yang melihat kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan.

Sementara itu, isteri mangsa yang dikenali sebagai Amira meluahkan rasa sedih atas pemergian suaminya.

Menurut Amira, dia redha dengan pemergian Allahyarham selain berjanji akan menjaga dua zuriat mereka yang masih kecil dengan sebaik-baiknya.

“Tiada lagi senyuman yang boleh tenangkan saya. Tiada lagi suara mengajak saya solat. Sesungguhnya anak-anak sangat merasakan kehilanganmu.

Tenanglah sayang, saya redha dengan pemergianmu, wahai cinta hati,” tulisnya di Facebook.

Leave a Reply