Berita Utama

Anggota tentera wajib divaksin, tindakan tatatertib jika ingkar, kata TDM

KUALA LUMPUR – Selepas tular kisah seorang anggota tentera yang dipecat selepas enggan menerima vaksin, Tentera Darat Malaysia (TDM) menerusi satu kenyataan media dikeluarkan Sel Perhubungan Raya Tentera Darat pada Isnin menegaskan setiap anggota TDM diwajibkan mengambil vaksin.

Jelas kenyataan itu, ia bagi mengekang penularan yang bukan sahaja akan berlaku dalam kalangan anggota TDM, bahkan boleh menjangkiti keluarga anggota TDM dan masyarakat keseluruhannya.

“Tindakan seseorang anggota tentera yang ingkar atau enggan untuk menerima vaksin, boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan tatatertib kerana ingkar perintah atau melanggar perintah tetap.

“Pengambilan vaksin dalam kalangan anggota TDM diwajibkan atas dasar anggota TDM hidup secara berkelompok. Selain itu, peranan dan tanggungjawab TDM kini sebagai petugas barisan hadapan dalam melaksanakan penugasan mahupun latihan, turut berdepan dengan kebolehjangkitan COVID-19,” jelas kenyataan itu.

Ia juga bertujuan mendokong hasrat dan aspirasi kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok, seterusnya memutuskan rangkaian penularan COVID-19 di negara ini.

“Setiap anggota TDM hendaklah mematuhi dan menuruti perintah yang telah dikeluarkan, bagi menentukan misi/kesiapsiagaan organisasi tercapai,” jelas kenyataan itu lagi.

Terdahulu, Sarjan Wan Ramly Wan Seman, 39, dari Batalion ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja yang berpangkalan di Kem Rasah, Negeri Sembilan menerima arahan pemberhentian perkhidmatan yang dikeluarkan Kementerian Pertahanan berkuat kuasa 26 Ogos ini.

Tindakan itu diambil selepas bapa kepada tiga anak itu menolak pemberian vaksin pada 7 Julai lalu ketika diarahkan berbuat demikian.

Beliau sepatutnya dijadualkan tamat perkhidmatan pada 21 Januari 2023, bagaimanapun selepas tindakan yang akan dikenakan, Wan Ramly berkemungkinan kehilangan pencen yang layak diperolehnya.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!