Berita Utama

Angkara rakan sekolah, wartawan jenayah imbau kes pembunuhan Juliana 13 tahun dahulu

HARI ini kita semua membaca kisah seorang pelajar perempuan Tingkatan Enam yang dipercayai membunuh sahabatnya sendiri, Siti Nur Surya Ismail, 19, dengan mengelar beberapa kali pergelangan tangan kiri mangsa sehingga putus di Kuala Berang, Terengganu.

Suspek ditahan selepas diserahkan ibunya pada jam 8.15 pagi semalam ketika datang ke balai polis.

Tangkapan terhadap suspek dibuat berdasarkan bukti yang ditemui di lokasi kejadian dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah burung berhampiran kediaman mangsa.

Sebagai wartawan jenayah, apa yang terjadi pada adik Siti Nur Surya ini betul-betul mengingatkan aku mengenai kes pembunuhan adik Juliana Md Fuzi di Kuala Lumpur kira-kira 13 tahun lalu.

Semuanya angkara sahabat baik juga!

Masa tu arwah Juliana baru berumur 20 tahun.

Semuanya bermula apabila arwah terjumpa suspek dalam satu majlis reunion sekolah rendah mereka.

Suspek kemudiannya mengajak arwah untuk satu sesi ‘makan-makan’ setelah agak lama mereka tidak bertemu.

Rupa-rupanya suspek dan teman lelakinya sedang ‘merancang’ sesuatu terhadap arwah.

Mereka membawa arwah ke sebuah hotel konon untuk mengambil barang yang tertinggal.

Di hotel itulah, mereka telah menyamun sebelum membelit serta menjerut leher mangsa sehingga arwah meninggal dunia di tempat kejadian, kejam… memang kejam!

Hasil siasatan, polis akhirnya berjaya memberkas kedua-dua suspek.

Tidak lama selepas itu, bicara punya bicara, pada 14 Julai 2009, kedua-duanya didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman mati namun mereka berdua tak berpuas hati dengan keputusan itu, mereka kemudiannya merayu lagi, kali ini ke Mahkamah Rayuan pula tetapi ternyata rayuan mereka sia-sia.

Setelah lima tahun, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan kesalahan dan hukuman mati terhadap mereka berdua.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad berkata, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tidak melakukan sebarang kekhilafan dalam penemuan faktanya apabila mensabitkan kesalahan mereka.

Katanya, Mahkamah Rayuan tidak mempunyai peluang untuk membuat penilaian tentang tingkah laku saksi seperti yang dimiliki hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah

“Kami tidak mempunyai alasan untuk mengatakan bahawa sabitan kesalahan itu adalah tidak wajar,” kata Syed Ahmad Helmy ketika menolak rayuan.

Panel itu turut dianggotai Hakim Datuk Abdul Wahab Patail dan Hakim Datuk Mohtaruddin Baki.

Mengapa aku bercakap mengenai kes ini?

Seperti kes adik Siti Nur Surya, aku tidak faham mengapa mereka sanggup bersekongkol menyamun dan membunuh sahabat baik sendiri, walhal mangsa punyalah teruja untuk bertemu dengannya setelah lama tak berjumpa lagipun berapalah sangat yang boleh dapat kalau nak samun mangsa pun, dia bukannya anak jutawan!

Untuk makluman korang, di mahkamah, suspek, bersungguh-sungguh menafikan dia terlibat dalam pembunuhan tersebut.

Malah dia bagaikan tak percaya dengan hukuman berkenaan hingga membuatkan dia menangis teresak-esak sambil merayu kepada ibu bapanya supaya dia dilepaskan daripada tuduhan itu.

“Mama, saya tak bunuh! Saya tak bunuh!,” katanya sambil meraung.

Tetapi nasi sudah menjadi bubur.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh adik Juliana dan adik Siti Nur Surya yang dibunuh oleh sahabat mereka sendiri.

Pada suspek-suspek kejadian ini, semoga taubat mereka diterima oleh Allah SWT di akhirat kelak.

Al-Fatihah..

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!