Berita Utama

Anwar kata Belanjawan 2021 biasa-biasa sahaja

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendakwa Belanjawan 2021 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jumaat, tidak mempunyai impak lonjakan yang berkesan bagi memulihkan ekonomi negara.

Beliau berkata, selain itu unjuran angka yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, juga disifatkan membimbangkan.

“Keluhan paling ketara adalah tidak ada satu lonjakan bagaimana kita boleh pulihkan ekonomi dan itu bagi saya adalah kelemmahan besar.

“Belanjawan ini tidak beri gambaran yang boleh rangsang ekonomi agar boleh hidup dan segar. Kedua, tiada penyelesaian masalah pengangguran dan membantu golongan pekerja yang dibuang kerja kerana itu adalah perkara paling besar.

“(Selain itu) Perkara pokok yang akan kita bahaskan Isnin ini termasuk unjuran angka yang dibentangkan yang saya lihat membimbangkan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi awal kepada pembetangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan pada Jumaat.

Sementara itu, Anwar berkata peruntukan untuk Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) juga terlalu tinggi.

“Perkara kedua adalah (peruntukan) propaganda JASA yang menjangkau lebih RM80 juta berbanding peruntukan untuk orang kurang upaya (OKU) dan rakyat miskin.

“Angka-angka ini kita akan bahaskan dan apabila sudah dibahaskan baru kita dapat lihat secara keseluruhannya… dan bukan sekadar rakyat dapat RM300 atau RM500,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut berterima kasih kepada kerajaan yang mengambil kira usul yang dikemukakan oleh Pakatan Harapan.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!