Politik

Anwar ahli politik paling tak cerdik, berkali-kali kena tipu dengan Mahathir

SHAH ALAM – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah ahli politik paling ‘tidak cerdik’ di dunia sekiranya menerima cadangan DAP supaya memberi laluan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri kesembilan selama enam bulan.

Demikian pandangan Presiden Pertubuhan Jalinan Sukarelawan Malaysia, Isham Jalil memandangkan Anwar telah berkali-kali ‘ditipu’ Dr Mahathir yang pernah berjanji untuk menyerahkan kuasa ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah negara.

Isham yang juga Ketua Penerangan BN Selangor berkata, cadangan membenarkan Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri selama enam bulan menunjukkan DAP hanya mahu menggunakan Dr Mahathir untuk memenangi pilihan raya.

“Selepas itu (akan) ‘pakai-buang’ sahaja tokoh tersebut umpama lampin bayi dan selepas itu DAP boleh menggunakan Anwar pula untuk memerintah dengan agenda perkauman dan anti-Melayu mereka.

“Mahathir tentunya boleh hidu hal ini, namun dia tentunya rela digunakan oleh DAP asalkan dia jadi Perdana Menteri.

“Selepas jadi Perdana Menteri sekali lagi nanti, Dr Mahathir akan gunakan seluruh kuasa yang ada padanya untuk tidak tunai janji, tidak serah kuasa dan menipu manifesto lagi,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya.

Bagaimanapun, beliau mendakwa, tidak kira sama ada Anwar atau Dr Mahathir yang dipilih untuk menjadi Perdana Menteri kerajaan PH, kedua-duanya akan menjadi boneka tunggangan DAP.

“Malaysia tidak boleh ada Perdana Menteri boneka. Sebab itu sebenarnya sudah terlajak masa untuk kedua-dua Mahathir dan Anwar untuk bersara,” kata bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Tun Razak itu.

Terdahulu, Presiden PKR itu menolak cadangan menunggu selama enam bulan bagi menggantikan Dr Mahathir.

Anwar dalam temu bual dengan Channel News Asia berkata, perjanjian itu akan membawa impak yang besar kepada negara.

Beliau menegaskan, peralihan singkat bermaksud sekurang-kurangnya setengah tahun negara dalam keadaan ketidakpastian termasuk mengenai Kabinet dan dasar yang diperkenalkan.

Dr Mahathir seperti dipetik dalam wawancara dengan Sin Chew Daily pula menolak cadangan Anwar untuk beliau dilantik ke satu jawatan khas dalam Kabinet, dan bukannya Perdana Menteri, jika PH Plus berjaya merampas semula kerajaan.

Ia selepas PKR bertegas agar Anwar dicalonkan sebagai Perdana Menteri manakala Mahathir menjadi menteri mentor atau kedudukan seumpama dengannya, seperti Singapura di mana bekas Perdana Menterinya dilantik ke kedudukan sebagai penasihat kerajaan.

Loading...

Leave a Reply