Berita Utama

Ayah terkandas di Singapura, 3 beranak berbuka puasa menerusi panggilan video

KULAI – Kerinduan yang mendalam selepas lebih setahun tidak bertemu, menyebabkan sebuah keluarga di Senai di sini, berbuka puasa bersama insan tersayang menerusi panggilan video.

Muhammad Razi Abdul Ghani, 34, yang bekerja sebagai juruteknik sudah setahun terkandas di Singapura sejak Mac tahun lalu, ketika sempadan negara ditutup.

Manakala, isterinya, Nor Fazilah Deris, 33, bersama dua anaknya, Muhammad Danish Anaqi, 8, dan Muhammad Dinie Asyraf,6, menetap di Senai.

Nor Fazilah berkata, dia sebak mengenangkan anak bongsunya, Muhammad Dinie yang kini jadi pendiam selepas setahun tidak dapat bertemu ayahnya.

“Pelbagai cara saya lakukan untuk hilangkan kerinduan kami sekeluarga terutama Muhammad Dinie yang manja dan sangat rindukan ayahnya, termasuk berbuka puasa bersama walaupun hanya menerusi panggilan video.

“Abangnya, Muhammad Danish, sudah menerima hakikat dan memahami keadaan ayah mereka tidak dapat pulang, namun adiknya masih bersedih sehingga bertukar menjadi pendiam, suka termenung dan sering bersendirian.

“Saya juga terpaksa berhenti kerja sebagai kerani swasta sejak pertengahan bulan lalu, bagi menumpukan sepenuh perhatian kepada kedua-dua anak yang memerlukan sokongan dan pemerhatian saya.

“Dahulu, suami membantu menjaga dua anak setiap kali pulang bekerja dari Singapura selain setiap Sabtu dan Ahad, namun saya tidak larat apabila tinggal keseorangan kerana perlu menumpukan sepenuh perhatian pada anak menyebabkan terpaksa berhenti kerja,” katanya ketika ditemui.

Ditanya mengenai sambutan Aidilfitri nanti, Nor Fazilah berkata, persediaan dibuat sederhana berikutan ketiadaan suami tercinta di sisi keluarga.

“Saya beruntung kerana ibu dan ibu mentua tinggal berhampiran dan sering menjenguk dan menemankan saya pada hujung minggu dan Aidilfitri nanti merekalah jadi pengubat rindu kami terhadap suami dan ayah anak-anak saya,” katanya.

Bagi Nur Adila Ayub, 31, pula Ramadan dan Aidilfitri kali ini terasa sangat berbeza dan sepi apabila suaminya yang bekerja dengan Pos Singapura, masih terkandas di sana.

Katanya, suaminya, Mohamad Raffi Senin, 31, dijadualkan pulang ke Johor Baharu bulan lalu menerusi skim Pengaturan Ulang-Alik Berkala (PCA), namun terpaksa dilupakan apabila majikannya membekukan permohonan cuti mengikut skim berkenaan.

“Saya reda berpuasa dan akan menyambut Aidilfitri bersama anak tunggal kami, Mohamad Luth Miqhail, setahun 10 bulan. Saya pun sudah berpindah sementara ke kediaman ibu dan ayah di Kulai, bagi membolehkan anak dijaga keluarga ketika saya bekerja.

“Namun saya sebak melihat keletah anak yang tidak mahu menatap ayahnya ketika panggilan video dibuat. Dia akan menangis dan lebih gemar mendengar suara suami, saya pun tidak tahu mengapa,” katanya.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!