Kuala Lumpur: Anak bongsu pelakon dan pelawak popular, Shuib, 37, iaitu Ayash Affan yang lahir pramatang pada 6 Ogos lalu sudah dikeluarkan dari inkubator di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia, dua hari lalu.
Shuib berkata, selepas dikeluarkan dari inkubator, perkembangan ditunjukkan Ayash yang berusia 20 hari itu sangat baik.
“Alhamdulillah, ‘baby’ dah pun dikeluarkan dari inkubator sejak dua hari lalu. Berat makin naik, alhamdulillah dia juga dah mula minum susu ibu (daripada sepupu Shuib). Begitulah perkembangannya dan doktor cakap dalam masa kira-kira tiga minggu, insya-Allah dia akan keluar (dibawa pulang ke rumah),” katanya kepada Harian Metro.
Baru-baru ini Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad dilaporkan sudah bertemu calon sesuai untuk menjadi ibu susuan buat Ayash iaitu sepupunya sendiri.
“Syukur kepada Allah apabila dalam kalangan keluarga saya ada sepupu yang baru melahirkan anak kira-kira enam bulan lalu dan dialah ibu susuan Ayash,” katanya.
Shuib sebelum ini berkata, dia bimbang dengan masa depan Ayash sekiranya dia mendapatkan susu badan daripada orang luar (bukan ahli keluarga sendiri).
Pada 9 Ogos lalu, Shuib kehilangan isteri tercinta, penyanyi Siti Sarah Raissuddin yang meninggal dunia akibat Covid-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU) HCTM.
Mereka berkahwin pada 26 Februari 2011 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6 dan terbaru, Ayash.
Leave a Reply