Politik

Azmin pilihan utama jadi TPM

SHAH ALAM – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kini menjadi pilihan utama dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Menurut satu sumber, faktor utama yang menjadi pertimbangan ialah beliau telah berjaya mendapatkan sokongan ahli-ahli Parlimen kepada Bersatu.

“Datuk Seri Hamzah Zainuddin juga mempunyai peluang yang sama kerana beliau mempunyai imej yang bersih.

“Namun kelebihan sekarang hanya kepada Mohamed Azmin,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Bagaimanapun, sumber itu berkata, Mohamed Azmin yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) berhadapan dengan masalah dengan sayap pemuda parti tersebut iaitu Armada.

“Ini kerana Mohamed Azmin mempunyai organisasinya sendiri iaitu Penggerak Komuniti Negara (PKN) yang merupakan jentera untuk beliau,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, peluang untuk Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pula amat tipis bagi jawatan tersebut.

Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu beliau akan mengumumkan senarai barisan Kabinet minggu ini.

Beliau berkata, senarai barisan menteri masih dibincangkan dan pihaknya masih membuat pertimbangan berhubung pelantikan tersebut.

Selain itu, senarai tersebut juga perlu mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!