IPOH: Balu kepada bekas Mufti Perak, Puan Sri Ainon Abdul Ghani, meninggal dunia di sebuah pusat perubatan swasta di sini, hari ini.
Allahyarhamah yang berusia 82 tahun dan balu kepada Allahyarham Tan Sri Dr Harussani Zakaria, meninggal dunia kira-kira jam 2.30 petang.
Anaknya, Datuk Ahmad Wafi Harussani, berkata ibunya meninggal dunia sebaik tiba di pusat rawatan itu bagi membuat rawatan lanjut berikutan demam.
Katanya, kesihatan ibunya merosot sejak kira-kira tiga bulan lalu.
“Kakak saya sentiasa memantau perkembangan ibu setiap hari. Ibu tidak banyak bercakap dan agak lemah, hari ini saya dimaklumkan ibu tidak sihat dan demam,” katanya.
Beliau berkata, ibunya meninggal dunia sebelum sempat menerima rawatan.
Ahmad Wafi berkata, jenazah akan disembahyangkan di Masjid Kampung Melayu Sungai Rapat pada jam 10 pagi dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu Sungai Rapat, esok.
Tahun lalu, Harussani dan Ainon dillapor mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Bainun (HRPB) di sini, berikutan jangkitan COVID-19.
Ainon dibenar keluar hospital pada 21 Mei manakala Harussani meninggal dunia pada 30 Mei tahun lalu.
Leave a Reply