SUNGAI BULOH – Bapa kepada pelajar sekolah, Ain Husniza Saiful Nizam yang mendakwa guru pendidikan jasmaninya bergurau keterlaluan berkaitan melakukan perbuatan rogol, merancang menyaman balas guru terbabit RM5 juta.
Perancangan saman balas itu dinyatakan oleh peguam Ain, Datuk Sangkara Nair.
Sangkara berkata, tindakan itu adalah satu bentuk tindakan sivil mengikut Undang-Undang Sivil 1956 (Akta 67) selepas Ain menghadapi kemurungan dalam konteks sengaja mencetuskan tekanan emosi (IIED), susulan kes itu yang dianggap sebagai satu gangguan seksual.
“Hari ini, Ain dan bapanya akan memberi keterangan kepada pegawai penyiasat dan setakat ini kita masih belum tahu apa yang bakal ditanya termasuk seksyen siasatan itu dijalankan.
“Namun selepas itu kita akan mengambil apa sahaja tindakan yang perlu untuk menyelamatkan Ain,” katanya ketika mengiringi Ain dan bapanya Saiful Nizam Abdul Wahab di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, di sini, petang tadi.
Sangkara berkata, seperti sedia maklum guru berkenaan mengemukakan saman sebanyak RM1 juta terhadap Ain dan bapanya sebelum dia mencadangkan kepada bapa Ain untuk mengemukakan saman balas.
Terdahulu, turut hadir di IPD Sungai Buloh adalah Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa, sebagai menyatakan solidariti sokongan kepada Ain dan bapanya.
Ain dan bapanya tiba pada jam 5.10 petang sebelum memasuki pekarangan IPD Sungai Buloh, 15 minit kemudian.
Pada masa ini, Ain, bapanya dan R Sivarasa sedang diambil keterangan.
Pada 24 April lalu, media melaporkan seorang guru pendidikan jasmani di sebuah sekolah di Selangor, didakwa bergurau keterlaluan seolah-olah menggalakkan pelajarnya melakukan perbuatan rogol dalam sesi pendidikan itu.
Leave a Reply