Berita Utama

Pegawai APMM, anak maut kemalangan dalam perjalanan ke kelas mengaji al-Quran

KUALA TERENGGANU – Seorang pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bersama anaknya maut selepas motosikal dinaiki dirempuh sebuah kereta.

Nahas berlaku di simpang tiga Jalan Gong Badak berhampiran Taman Perumahan Mega, Kuala Nerus kira-kira jam 7 malam Rabu.

Insiden itu menyebabkan mangsa, Leftenan Maritim Md Firdaus Omar, 35, dan anaknya Muhammad Lutfil Al-Hadi Md Firdaus, 8, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan untuk menghantar anak sulungnya ke kelas mengaji al-Quran dari rumah mereka di Gong Badak.

Kejadian itu menyebabkan dua beranak itu tercampak dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada beberapa bahagian badan.

Sementara itu Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Tafik negeri, Superintendan Abd Razak Hasan ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Katanya mayat kedua-dua mangsa dihantar ke unit forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk dibedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Loading...

Leave a Reply