BAPA kepada penyanyi, Dina Nadzir iaitu Mohd Nadzir Gulam Kadir, 64, meninggal dunia di sebuah pusat perubatan di Johor Bahru akibat masalah paru-paru, jam 8.10 pagi hari ini.
Pengurus Dina, Mickey Sharum ketika dihubungi berkata, Allahyarham yang turut menghidap kanser tekak dikejarkan ke pusat perubatan itu Khamis lalu akibat masalah paru-paru.
“Ketika dirawat di situ, Dina sempat menziarahi bapanya yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) kelmarin. Mereka sempat berbual dan bergurau kerana bapanya masih sedar.
“Kemudian Dina terpaksa pulang ke Kuala Lumpur kerana perlu menghadiri sesi ‘sound check’ semalam untuk program minggu keenam Gegar Vaganza 9 (GV9) yang berlangsung malam ini, namun ketika sesi latihan saya mendapat perkhabaran bapanya sedang tenat.
“Ketika maklumkan kepadanya, Dina meraung dan terduduk di atas pentas kerana dia baru saja selesai membuat ‘sound check’. Kemudian saya membantunya membeli tiket penerbangan ke Johor Bahru dan syukur Dina sempat bertemu bapanya semalam walaupun bapanya terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan,”katanya.
Menurut Mickey, jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Impian Emas, Johor Bahru selepas Zuhur, hari ini.
Ditanya adakah Dina akan membuat persembahan pada minggu keenam program GV9 malam ini, Mickey memaklumkan penyanyi itu tidak dapat menghadirkan diri.
“Semestinya Dina tidak akan membuat persembahan malam ini. Sepatutnya malam ini Dina akan menyampaikan lagu berjudul Januari nyanyian asal Glen Fredly,”katanya.
Leave a Reply