Kuala Lumpur: Bapa kepada seniman Datuk M Nasir iaitu Mohamed Sam, 96, menghembuskan nafas terakhir di Singapura sekitar jam 7.30 pagi, hari ini, disebabkan sakit tua.
Isteri komposer dan penyanyi terkenal itu, Datin Marlia Musa berkata mereka sekeluarga masih terkejut mendapat berita sedih berkenaan, namun reda dengan pemergian Allahyarham.
“Suami belum bersedia untuk memberi sebarang kenyataan. Kami masih terkejut, tetapi sudah bersedia daripada segi mental disebabkan arwah memang sudah sakit lebih sebulan.
“Kehilangan itu, tetap satu kehilangan. Kami reda lagipun ayah memang sudah uzur dan dia meninggal dunia bukan disebabkan penyakit kronik,” katanya ketika dihubungi.
Marlia juga mengakui agak terkilan kerana tidak dapat hadir ke pengebumian Allahyarham di Singapura disebabkan situasi pandemik Covid-19 ketika ini yang tidak mengizinkan.
“Memang sangat sedih tidak dapat bersama ahli keluarga lain di sana untuk penghormatan terakhir. Namun, mujur kami sempat berbual menerusi panggilan video sebelum ini.
“Ketika itu, arwah masih kelihatan cukup sihat meskipun uzur. Disebabkan itulah, kami agak terkejut sedikit apabila menerima berita sedih itu awal pagi ini,” katanya.
Menurut Marlia, jenazah Allahyarham bapa mertuanya itu kini diuruskan oleh adik-beradik M Nasir untuk pengebumian di Singapura. Seniman tersohor itu adalah anak keempat daripada sembilan adik-beradik.
Leave a Reply