KUALA LUMPUR – Penyanyi, Mas Idayu, 51, reda dengan pemergian bapanya, Mesnun Hassan, 78, yang meninggal dunia di Kota Tinggi, Johor, kira-kira jam 1 pagi, Selasa lalu.
Mas Idayu berkata, dia bersyukur kerana sempat menatap wajah bapanya buat kali terakhir dan meluangkan masa menjaga Allahyarham yang menghidap kencing manis dan sakit tua lebih sebulan lalu.
“Pada Isnin malam lalu, saya dimaklumkan bapa kritikal. Ketika itu, saya sepatutnya menjalani rakaman lagu baharu bersama Ajai.
“Kemudian kakak sulung saya menghubungi anaknya yang tinggal bersama saya memaklumkan bapa sudah tiada. Kami kemudian bergegas pulang ke Johor dan tiba kira-kira jam 7 pagi.
“Alhamdulillah, saya sempat menatapnya buat kali terakhir. Wajah bapa bersih sangat dan dia kelihatan tersenyum. Seisi keluarga pun ada di sisinya sebelum dikebumikan,” katanya.
Penyanyi lagu Cintaku 100% itu mengakui selepas beberapa hari pemergiannya, kerinduan terhadap Allahyarham tiba-tiba menerpa kembali dan benar-benar terasa kehilangan.
“Saya rindu suara bapa memanggil kami untuk minta sesuatu. Arwah memang mengalami penyakit kronik sebelum ini termasuk kencing manis dan terpaksa berkerusi roda.
“Saya sempat menguruskan bapa termasuk memandikan dan tolong buang air besar beberapa bulan lalu. Walaupun dia tak nak kerana segan dengan anak-anak, saya bertegas buat juga ketika itu,” katanya.
Leave a Reply