Hiburan

Bapa penyampai radio, Muaz Mohamed meninggal dunia

KUALA LUMPUR – Pengacara dan penyampai radio Muaz Mohamed, 36, berkongsi berita duka mengenai bapanya, Mohamed Atan, 62, yang meninggal dunia akibat pasca Covid-19 di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, di sini, pada jam 4.50 pagi, semalam.

Muaz atau nama sebenarnya Muazanazzuddin Mohamed berkata, jenazah bapanya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, pada jam 1.30 tengah hari semalam dan bersyukur pemergian Allahyarham dipermudahkan.

“Meskipun sedih, saya bersyukur kerana urusan pemergian ayah dipermudahkan. Malah, ibu saya sempat menemaninya selama tiga minggu di hospital dan dia meninggal pun tenang, di dalam tidur.

“Saya juga sempat memandikan dan kebumikan arwah. Wajahnya kelihatan berseri dan sangat tenang seperti sedang tidur saja,” katanya.

Menurut Muaz, arwah bapanya juga sudah sembuh daripada Covid-19 dan dibenarkan pulang ke rumah semalam. Bagaimanapun, tidak sangka ajalnya sudah sampai.

“Ayah sudah 28 hari negatif Covid-19 dan berada di wad biasa selama tiga minggu. Pada Rabu lalu, keadaannya sudah semakin baik dan sempat menghubungi rakan-rakan memberitahu dia akan pulang ke rumah pada Sabtu (semalam).

“Kami di rumah pun sebenarnya sudah menyiapkan segala kelengkapan untuk menyambut kepulangannya. Tak sangka pula ‘pulang’ yang dimaksudkan arwah adalah dia pergi buat selama-lamanya,” katanya.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!