KUALA LUMPUR – “Sukar untuk saya gambarkan perasaan ketika itu. Inilah pertama kali saya merasa kehilangan orang yang terdekat,” kata penyanyi Noki, 28, mengenai bapanya, Aji Lee Ahsam, 66, yang meninggal dunia akibat sakit tua di rumahnya di Kampung Sipitang, Kota Kinabalu, Sabah, malam semalam.
Noki atau nama sebenarnya Ahmad Ikhwan berkata, dia sangat terkejut selepas abangnya memaklumkan khabar duka itu kerana bapanya tidak mengalami sebarang penyakit kritikal.
“Saya berada di gimnasium sewaktu abang sulung maklumkan ayah sudah tiada. Memang sangat mengejut dan secara tiba-tiba, saya tak boleh nak percaya. Apabila buat panggilan video dan melihat wajah ayah, arwah nampak tenang saja,” katanya.
Pagi ini, Noki yang juga anggota K-Clique terus mengambil penerbangan dari Kuala Lumpur untuk pulang ke Sabah.
Menurut penyanyi Gila itu, tak tergambar perasaan kehilangan terhadap bapa tercinta.
“Saya hanya dapat tiket balik awal pagi tadi. Saya terus ke tanah perkuburan untuk urusan pengebumian jenazah,” katanya.
Menurut Noki, kali terakhir dia berjumpa bapanya adalah pada sambutan Aidilfitri lalu. Seminggu lalu, dia juga sempat bercakap dengan arwah menerusi panggilan telefon.
Katanya, arwah memang sudah lama terlantar akibat masalah saraf.
“Memang rasa amat sedih kerana tidak dapat berjumpa di saat-saat akhir hayatnya. Sejak umur 30-an lagi ayah sudah berjalan menggunakan tongkat akibat sakit saraf.
“Dia juga sudah terlantar sejak beberapa tahun lalu. Namun, tidak pernah pula ada sakit kronik lain seperti jantung atau masalah buah pinggang,” katanya.
Leave a Reply