Berita Utama

Bapa Siti Nur Surya sedia maafkan pembunuh anaknya

KUALA TERENGGANU – Bapa mangsa pembunuhan kejam, Allahyarham Siti Nur Surya, Ismail Muda, 58, terbuka untuk memaafkan keluarga remaja wanita yang didakwa membunuh anaknya.

Katanya, tidak ada sesiapapun yang inginkan kejadian seperti itu berlaku dan menyifatkan ia adalah ketentuan Allah walaupun perit untuk menerimanya.

“Kalau dia (keluarga suspek) datang kita terima, tak kan kita nak halau orang datang minta maaf.

“Walau marah dan kecewa sekali pun dengan perbuatan anaknya, saya tidak mampu untuk berbuat apa-apa kerana kejadian sudah berlaku,” katanya ditemui selepas kunjungan rombongan Persatuan Penggerak Amal Terengganu (PATA), semalam.

Ismail berkata, bagaimanapun sehingga kini tidak ada pihak daripada keluarga terbabit yang datang menemui keluarganya untuk tujuan itu.

Menurutnya, pihaknya sentiasa menunggu kedatangan keluarga berkenaan untuk memohon maaf bagi pihak anak mereka.

Bapa saudara Allahyarham Siti Nur Surya, Aznan Muda, berkata dia tidak menolak kemungkinan keluarga terbabit takut untuk datang berjumpa keluarga mereka.

“Yalah, siapa tidak takut, anak dah bunuh orang tetapi kita tidak tahu situasi ketika itu dan asbab kejadian itu berlaku,” katanya.

Pisau diguna bunuh Surya dijumpai

Terdahulu, pihak polis memaklumkan pisau yang digunakan suspek dalam kes pembunuhan Siti Nur Surya sudah dijumpai di tepi lebuh raya Telemong, Kuala Berang.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Mohd Adli Daud berkata, senjata berkenaan dipercayai diambil oleh suspek di rumah mangsa dan digunakan sebagai senjata untuk membunuh, pada Ahad lalu.

“Pisau pemotong sayur berkenaan dibuang di tepi lebuh raya Telemong yang dianggarkan kira-kira tiga hingga empat kilometer dari rumah mangsa.

“Ia dijumpai pada hari ketiga selepas kejadian,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Operasi Bersepadu Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 di Hulu Terengganu, malam tadi.

Selain itu, Mohd Adli berkata, hampir 20 saksi dipanggil untuk memberi keterangan termasuk keluarga suspek dan mangsa.

Dalam kejadian pada 1 November lalu, Siti Nur Surya, yang menjaga ibunya yang terlantar akibat sakit kanser otak, ditemukan mati dengan kesan tetakan pada badan, di samping putus tangan kiri dipercayai dibunuh rakan baiknya di Kampung Lubuk Batu, Telemong.

Mayatnya ditemukan adik perempuan arwah yang berusia 15 tahun semasa pulang dari sekolah kira-kira 2.30 petang.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!