Setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga pasti menantikan kehadiran cahaya mata sebagai ‘pelengkap’ rumah tangga.
Namun, tidak semua pasangan yang diberikan rezeki hamil seawal tahun perkahwinan mereka dan ada yang sudah bertahun-tahun menantikannya.
Tetapi lain pula yang dilalui oleh seorang wanita apabila dia disahkan hamil selepas dua tahun menanti cahaya mata pertama mereka, namun diuji dengan kehilangan suami tersayang pada keesokan harinya.
Menerusi perkongsian yang dimuat naik oleh Shaa Ibrahim di Facebook, dia memaklumkan bahawa suaminya, Wan Muhammad Hasruldin telah dijemput Ilahi selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.
“Pagi tadi saya hantar gambar ni dekat awak sayang. Rupanya awak tak sempat tengok. Allah panggil awak balik. Dua tahun awak tunggu sayang. Saya kuat sebab ni. Ni juga last WhatsApp saya sempat hantar dekat awak. Lepas ni tak akan ada dah orang yang nak hantar emoji lucu-lucu dekat saya.
“Hari ni GPS awak tak bergerak saya call tapi tak ada siapa yang jawab. Rupanya Allah SWT yang panggil awak dulu,” katanya.
Menurut Shaa, dia dan suaminya sebenarnya baru dua bulan tinggal bersama setelah berjauhan selama dua tahun akibat kekangan kerja.
Lebih menyedihkan apabila arwah suaminya begitu teruja dapat berita gembira bahawa isterinya disahkan hamil sebulan dan dia bakal menjadi seorang ayah sehingga sanggup membatalkan hasratnya untuk membeli kereta baru.
“Pada malam sebelum kejadian arwah dapat berita gembira bakal jadi ayah, sukanya dia sehingga cakap dia sanggup berkorban untuk anak bini dan cancel kereta. Dia sanggup berulang-alik dengan motor lagi. Awal pagi esoknya dia betul-betul berkorban,” ujarnya.
Menurut Shaa, pada pagi kejadian, suaminya sempat meminta untuk menyiapkan bekal nasi goreng dengan udang kunyit, namun tidak sempat dijamah olehnya.
“Bekal awak tak sempat jamah. Pagi tadi awak request nak nasi goreng pastu udang goreng kunyit. Saya tanya awak nak sambal belacan tak. Awak kata nak.
“Ceria je suara awak sayang. Macam biasa breakfast roti bakar favourite awak cuma pagi tadi saya minta tolong awak sapukan butter,” ujarnya.
Ujarnya lagi, kawan-kawan arwah suaminya datang menziarah arwah untuk kali terakhir dan mereka turut mengalirkan air mata kerana sedih kehilangan seorang kawan yang baik. Shaa juga memberitahu bahawa srwah suaminya telah selamat dikebumikan di kampung halamannya di Pasir Mas, Kelantan.
“Saya minta maaf tak mampu tengok awak tadi dekat tempat kejadian.
“Demi Allah awak terlalu baik. Tidak sekalipun awak marah saya. Tidak sekalipun kata-kata kasar keluar dari mulut awak. Allah sayang awak,” ujarnya.
Leave a Reply