Blog Berita Online

Viral

Bas hangus terbakar namun mayat dan kain ihram ustaz tidak disentuh api

Kira-kira pukul 10.00 pagi itu, konvoi sembilan buah bas jemaah umrah bertolak dari Madinah. Semua jemaah siap berihram. Saya mengetuai satu rombongan seramai 45 orang dalam sebuah bas. Bersama saya adalah Ustaz Amir Junaidi yang menjadi mutawif, mengetuai bacaan zikir dan menyelitkan ceramah agamanya sebagai ingatan sepanjang perjalanan.

“Pak Shukri, saya mahu rehat di belakang,” beritahu Ustaz Amir selesai berzikir, tahmid, takbir dan berceramah.

“Mengapa?” soal saya.

“Tempat saya lebih sesuai di belakang sana,” Ustaz Amir merendah diri.

“Jangan begitu, ustaz. Duduk sini dengan saya. Ada juga teman saya berbual,” pujuk saya.

Ustaz Amir akur dengan permintaan itu dan terus duduk di kerusi bersebelahan saya yang terletak di belakang pemandu. Saya lihat mutawif berusia 35 tahun itu sudah empat lima kali menguap.

“Pak Shukri tak mengantuk ke?” tanya Ustaz Amir.

Saya hanya menganggukkan kepala. Ustaz Amir terus menekup muka di atas meja kecil di belakang kerusi pemandu. Tangan kanannya dijadikan alas dahi. Sementara saya bersandar untuk mencari kedudukan yang selesa.

Bas berhawa dingin terus membelah lebuh raya menuju Madinah. Kiri dan kanan kering kontang, hanya tanah lapang yang sesekali nampak sepohon dua pokok tumbuh. Fikiran melayang lalu perlahan-lahan mata terlelap, dan…

BAAAAAMMMM…! GEEEDEEEGANG…!!

Terasa belakang saya ngilu, pedih dan panas. Badan terasa seperti diheret laju. Mimpi ke saya ni? Saya buka mata tetapi tak nampak apa-apa.

Saya bangun dari kerusi yang sudah terbalik. Kemudian pandang ke kanan… Ya-Allah, pintu bas remuk! Percikan api menyambar tempat duduk pemandu. Apa yang saya ingat hanyalah untuk menyelamatkan diri dan pemandu bas, Waheed yang sedang terkial-kial mengelak diri daripada terkena api yang semakin membesar.

Saya tekan suis untuk membuka pintu utama bas, tapi ia tidak berfungsi. Saya masih terpinga-pinga. Fikiran bertanya apa yang terjadi. Ke mana perginya semua penumpang?

Saya berjalan ke belakang, membuka pintu kecemasan, pun gagal juga. Semuanya sudah terkunci secara automatik. Saya kembali semula ke tempat pemandu. Ya Allahhh! Api semakin marak.

“Pecahkan cermin!” jerit saya. Waheed mengambil penukul dari bawah kerusinya. Pranggggggg… sekali tukul berderai cermin tingkap.

Dari tingkap itulah saya membantu Waheed yang cedera di kepala, tangan dan kaki keluar. Api semakin marak meratah kerusi pemandu sementara saya masih terpinga-pinga.

“Tolong! Tolong!!” terdengar jeritan bertalu-talu.

Saya sudah dapat mengagak bas yang kami naiki kemalangan. Ketika itulah saya teringat 45 orang jemaah yang saya bawa. Saya memekik meminta semua jemaah menukul atau menendang cermin tingkap bas.

“Pecahkan tingkap!!!” jerit saya dari bawah.

Salah seorang jemaah, Haji Khalil dapat memecah cermin tingkap di bahagian belakang. Jemaah berebut-rebut terjun. Ada yang tertonggeng, terguling atas tanah dan ada yang cedera. Dalam keadaan kelam-kabut begitu, yang lain tidak penting, selain nyawa.

Api yang bermula dari tempat pemandu merebak ke bahagian tengah badan bas. Jemaah masih belum habis keluar. Saya benar-benar panik.

Saya nampak ihram tiga jemaah yang terjun telah disambar api. Jemaah daripada bas lain dan penduduk tempatan yang melalui lebuh raya itu turut memberikan bantuan. Suasana kecoh dan kelam-kabut.

Raungan dan tangisan memenuhi setiap ruang. Panas terik tidak dihiraukan lagi. Saya lihat ramai yang melecur – ada pada bahagian tangan, melepuh kedua-dua belah tangan dan ada yang teruk. Semuanya dibaringkan atas tanah dengan diberikan bantuan semampu terdaya.

“Ustaz, dua jemaah lagi tak ada!” beritahu Haji Khalil yang tidak mengalami kecederaan langsung kerana dia sempat keluar awal daripada bas yang terbakar.

“Dua orang?” saya terpinga-pinga. Kemudian saya menyambung lagi: “Siapa yang tak ada?”

“Tak tahu siapa… saya kira kita ada 43 orang saja,” kata Haji Khalil.

Saya membantu Haji Khalil mencari siapakah yang hilang? Tapi kaki terasa menggeletar lalu saya rebah semula ke tanah. Pinggang tiba-tiba terasa bisa mencengkam.

“Tak apa, ustaz duduk sini. Biar saya cari,” balas Haji Khalil.

Setelah beberapa minit menanti Haji Khalil datang semula. “Dah tiga kali saya pusing keliling bas, tak ada. Api dalam bas pun kuat sangat.”

“Haji pasti siapa?” tanya saya.

“Tak pasti. Saya cuba cari lagi…” belum sempat Haji Khalil menghabiskan kata-katanya terdengar satu letupan.

BUUUUMMMMMM!!!

Api menjulang setinggi bangunan tiga tingkat dari badan bas yang meletup. Serpihan-serpihan besi berterbangan ke udara. Menakutkan! Bahangnya terasa menggigit kulit walaupun jarak tempat kami berkumpul 10 meter.

Semua jemaah dibawa ke Hospital Madinah. Di wad, Kolonel Mausin Saleh al-Badi, pegawai polis yang menyiasat kemalangan itu memaklumkan pada saya, dua yang terbunuh itu ialah Minah Hassan dan Ustaz Amir Junaidi.

“Inna lillahi wa inna ilaihi rojiun.”

Saya termenung lama di katil mengingati kembali tragedi yang baru berlaku. Saya cuba tumpukan perhatian untuk mengingat setiap detik yang berlaku, mencari di mana Ustaz Amir berada ketika itu, tapi gagal. Saya tak dapat bayangkan di mana Ustaz Amir berada ketika kemalangan berlaku. Kenapalah saya tak terfikir mencarinya semasa turun dari bas padahal dia duduk di sebelah saya.

Perasaan kesal mula menjalar di hati apabila teringatkan perbuatan saya menghalang Ustaz Amir berpindah ke belakang bas. Kalau saya tak menghalang, mungkin dia terselamat.

Pada malam itu juga Ketua Operasi TH Travel & Services Sdn. Bhd. di Madinah, Haji Rashid Ismail pergi ke bilik mayat untuk mengecam jenazah Ustaz Amir dan Minah Hassan. Saya yang cedera masih di hospital, terkejut mendapat khabar, Minah Hassan rentung.

Mendengarkan perkhabaran itu sekali lagi hati saya dipagut kesedihan. Tentunya Ustaz Amir pun berkeadaan serupa kerana tempat duduk kedua-duanya berdekatan. Berkali-kali saya bertanya pada diri sendiri: “Kenapa saya tak benarkan Ustaz Amir duduk di belakang?”

Namun berita mengenai jenazah Ustaz Amir belum lagi saya terima daripada rakan setugas yang sentiasa berada di hospital. Hingga ke dinihari saya menunggu perkhabaran daripada Haji Rashid Ismail dan Kolonel Zulkefli tidak kunjung tiba. Hanya setelah subuh barulah kedua-duanya muncul di wad saya.

“Shukri, saya nak cerita sikit. Kamu jangan terkejut pulak,” Haji Rashid memulakan bicara.

“Jenazah Ustaz Amir dah selamat dikebumikan di perkuburan Baqi’ tadi,” Haji Rashid memberitahu. Saya hanya mampu menitiskan air mata.

“Tapi ada satu yang pelik, ajaib dan tak… entahlah, susah saya nak cakap,” kata-kata Haji Rashid tersekat-sekat.

Kemudian Haji Rashid menyambung: “Jenazah Ustaz Amir tak terbakar walaupun sehelai bulu romanya. Bahkan ihram yang dipakai masih sempurna.”

“Betul ke, Aji?” tanya saya ragu-ragu.

“Betul. Bukan saya seorang yang melihatnya, salah seorang jemaah kita, Kolonel Zulkefli dan beberapa petugas yang lain pun ada,” jawab Haji Rashid.

Kalau difikirkan balik memang tidak logik kerana bas yang saya naiki itu meletup dan terbakar. Setelah api padam, yang tinggal hanya rangka sahaja, jenazah Minah pun hanya tulang.

Bagaimanapun jenazah Ustaz Amir langsung tidak dijamah api. Menurut Haji Rahsid, keadaan Ustaz Amir seperti tidur. Tangan kanannya masih terletak di dahi. Sementara tangan kiri diletakkan di atas perut. Sebahagian kain ihramnya menutup muka. Cuma pada hujung kain ihramnya melekat kesan-kesan abu.

Dua hari kemudian saya keluar dari hospital. Saya teruskan perjalanan ke Mekah menaiki kapal terbang. Selesai mengerjakan umrah saya mencari saudara-mara Ustaz Amir. Tujuan utama saya adalah untuk menyampaikan sedikit sumbangan kepada keluarganya di Indonesia. Selain itu, hati saya sentiasa bergelodak untuk mengetahui latar belakang arwah mutawif itu.

“Nak Amir ni memang seorang yang jujur, ikhlas dalam setiap pekerjaannya. Tak berkira tenaga dan kudrat, siapa yang minta tolong akan ditolong. Arwah ayahnya kiai.

“Pernah suatu ketika kampung kami dihanyutkan air, semuanya habis ranap termasuk perkuburan. Peliknya kubur kiai tidak dihanyutkan. Jenazahnya juga masih utuh di situ walaupun sudah hampir 10 tahun dikebumikan,” cerita bapa saudara Ustaz Amir.

“Istimewa sungguh keluarga Ustaz Amir,” komen saya.

“Pak Shukri, yang istimewa bukan keluarganya tapi amalan dan akhlaknya. Iman tak diwarisi daripada keluarga,” bapa saudara Ustaz Amir membetulkan komen saya.

Memang benar amal dan iman bukan warisan daripada keluarga. Di dunia pun sudah Allah haramkan api memamah tubuhnya. Bukan calang-calang orang dimuliakan Allah setinggi itu.

“Ustaz Amir berguru di mana?” tanya saya lagi.

“Dengan almarhum ayahnya. Dan selebihnya di sinilah, Masjidilharam. Nak Amir memang seorang yang adil pada kedua-dua isterinya. Dengan sesiapa saja, suaranya sentiasa lembut. Tak pernah saya tengok langsung dia marah-marah,” kata bapa saudara Ustaz Amir.

Apabila mengingati Ustaz Amir sesekali air mata saya menitis. Bukan kerana sedih tapi gembira kerana diberikan kesempatan untuk bertemu dan berbual dengannya. Duduk makan semeja dan bersama mengalunkan zikir.

Pencerita: Ustaz Ahmad Shukri Mohamad Amin (Kejadian ini berlaku pada 8 September 2002)

Leave a Reply