JAKARTA – Lima beranak termasuk seorang bayi berusia tiga bulan dipercayai antara mangsa yang dikhuatiri maut selepas pesawat Sriwijaya yang dinaiki mereka terhempas di perairan Pulau Laki di Kepulauan Seribu.
Mereka yang terkorban ialah Rosi Wahyuni, anaknya Rizki Wahyudi, menantunya Indah Halimah Putri dan cucunya yang berusia tiga bulan Arkana Nadhif Wahyudi.
Lapor CNN Indonesia, perkara itu dimaklumkan oleh ahli keluarga Rizki Wahyudi iaitu Rizky Kurniawan yang ketika ini masih menunggu maklumat terkini berhubung nahas tersebut.
“Seperti tidak percaya Rizki dan keluarganya terlibat dalam nahas tersebut.
“Saya baru sahaja berjumpa dengan Rizki iaitu sehari sebelum dia dan keluarganya menaiki pesawat tersebut,” katanya.
Rizky menceritakan bahawa Rizki pernah mengajaknya datang ke Pontianak untuk menikmati pesta durian bersama keluarganya.
“Dia mengajak saya serta keluarga untuk datang ke rumah ibunya untuk makan buah durian memandangkan ketika ini adalah musim buah durian.
“Saya sangat sedih dengan apa yang berlaku dan berharap semua urusan dapat diselesaikan segera,” ujarnya.
Sementara itu, pasukan keselamatan menemukan lebih banyak cebisan daging manusia serta serpihan bangkai pesawat Sriwijaya Air.
Pasukan keselamatan juga giat mengesan kotak hitam pesawat terbabit bagi mengenal pasti punca nahas.
Leave a Reply