Berita Utama

Bayi dua bulan parah digigit kera

BUTTERWORTH: Seorang bayi lelaki berusia dua bulan cedera di beberapa bahagian badan dan kepala apabila digigit sebelum dipercayai diseret sejauh satu meter oleh seekor kera di Kampung Manggis, Sungai Puyu, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, ibu kepada bayi berkenaan ke dapur untuk membuat susu sebelum mendengar tangisan kuat anaknya yang diletakkan di atas tilam di ruang tamu rumah.

Mendengar tangisan berkenaan, wanita itu berlari mendapatkan anaknya sebelum dia terkejut melihat bayinya berada di atas lantai simen dalam keadaan berlumuran darah dan ternampak seekor kera jantan berada di hadapan pintu rumahnya sebelum melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Noorzainy Mohd Noor, berkata suami wanita itu berusia 27 tahun melaporkan kejadian berkenaan kepada polis semalam.

“Suami wanita itu memaklumkan dia yang baru pulang dari sebuah kedai terkejut melihat anaknya berlumuran darah dengan terdapat kesan gigitan di pipi kanan, belakang kepala dan perut sehingga nampak pergerakan usus.

“Dia kemudian bergegas membawa anaknya ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan sebelum dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang.

“Bayi lelaki itu selamat menjalani pembedahan kecil bagi mencantumkan bahagian kulit perut yang koyak semalam dan kini perlu menerima rawatan lanjut di wad kanak-kanak selama dua minggu sebelum dibenarkan keluar,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Polis katanya sudah merujuk laporan mangsa kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!