Blog Berita Online

Berita Utama

Bayi terkeluar dari kandungan pula meninggal dunia

PASIR MAS: Selepas lima jam bertarung nyawa, bayi lelaki yang terkeluar daripada kandungan ibunya dalam nahas membabitkan dua motosikal di Kampung Lumpur di sini malam ini, meninggal dunia kira-kira jam 12 tengah malam ini.

Mohd Khairi Hasbullah, 31, sempat mengazankan anak keempatnya itu sebelum bayi berkenaan dilaporkan meninggal dunia.

“Saya reda apabila anak kami turut pergi bersama ibunya,” katanya di sini, malam ini.

Dalam kejadian kira-kira 7 malam tadi, isterinya, Nur Hasliza Yazaib, 25, yang sarat mengandung sembilan bulan, meninggal dunia selepas motosikal ditunggang bertembung dengan sebuah motosikal lain.

Remaja yang menunggang motosikal berkenaan turut meninggal dunia di hospital.

Mohd Khairi hanya mampu menangis sebaik dipanggil doktor dan dimaklumkan bayinya gagal diselamatkan.

Ketika ini, beliau hanya memikirkan anak kedua, Nurul Iman Maisara, 6, yang membonceng bersama isterinya dan dilaporkan cedera parah di kepala serta ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

“Doakan supaya Nurul Iman selamat dan saya diberi kekuatan demi dua lagi cahaya mata berusia lapan dan tiga tahun,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, mengesahkan nahas berkenaan kini mengorbankan tiga nyawa dengan kematian bayi malang itu.

Katanya, penunggang motosikal, Muhamad Shakim Muhamad Zaki, 18, dilaporkan meninggal ketika menerima rawatan di Hospital Pasir Mas (HPM).

“Penunggang remaja itu dikatakan gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas dan melanggar motosikal ditunggang mangsa wanita sarat mengandung bersama seorang anak perempuan,” katanya.

Leave a Reply