Blog Berita Online

Berita Utama

Bekas Ketua Polis Negeri Sembilan meninggal dunia

SEREMBAN: Bekas Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh, 65, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban, tengah hari tadi, dipercayai akibat jangkitan COVID-19.

Difahamkan, Allahyarham meninggal dunia selepas enam hari dirawat di ICU hospital berkenaan akibat dijangkiti virus COVID-19 dan jangkitan kuman dalam darah.

Berita kematian Allahyarham yang juga bekas Ketua Polis Perak itu dikongsikan menerusi akaun Facebook anaknya, Dr Mohd Hafiz Osman.

“Innalillahiwainnailaihirojiun, Assalamualaikum semua..dukacita dimaklumkan, ayahanda saya, Osman Bin Salleh telah pun menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 12.51 tengah hari tadi di Hospital Tuanku Jaafar.

“Jenazah, abah, insya-Allah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bandar Ainsdale, Labu, sekitar jam 4 hingga 5 petang ini,” katanya.

Berita kematian Allahyarham turut mendapat perhatian Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim.

“Seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) menzahirkan ucapan takziah buat ahli keluarga Allahyarham yang meninggal dunia di HTJ, Negeri Sembilan tengah hari tadi.

“Allahyarham yang mencurahkan bakti selama 41 tahun dalam Pasukan, dilantik sebagai Ketua Polis Negeri Perak pada tahun 2014 sebelum menjalani persaraan wajib pada tahun 2016 dengan pangkat Komisioner Polis.

“Didoakan agar roh Allahyarham Dato’ Osman Hj. Salleh dicucuri rahmatNya dan ditempatkan bersama orang yang beriman serta beramal soleh,” katanya menerusi laman Facebook rasmi PDRM.

Leave a Reply