Berita Utama

Bekas MB Terengganu Wan Mokhtar Ahmad meninggal dunia

KUALA TERENGGANU – Bekas Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad dilapor meninggal dunia pagi ini.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 6.20 pagi tadi di Prince Court Medical Centre, Kuala Lumpur.

Menteri Besar Terengganu ke-10 itu meninggal dunia pada usia 88 tahun.

Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata berita sedih itu dimaklumkan oleh anak arwah kira-kira jam 7 pagi tadi.

“Dalam pukul 7 pagi tadi Wan Hakim (Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar) ada menelefon memaklumkan berita kehilangan itu dan beberapa minggu sebelum itu saya sempat berkunjung dan menziarahi beliau di Kuala Lumpur.

“Dengan itu saya mewakili UMNO Terengganu merakamkan ucapan takziah buat ahli keluarga Allahyarham di mana sepanjang era pemerintahannya banyak berjasa dan membawa pembangunan pada negeri,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Sementara itu, menerusi laman sosial Facebook bekas ADUN Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar yang juga anak kepada Tan Sri Wan Mokhtar turut memuat naik berita sedih itu.

” Assalamualaikum…innalillahiwainalillahirojiun. Ayah saya, Tan Sri Haji Wan Mokhtar bin Ahmad selamat kembali ke Rahmatullah pada jam 6.20 pagi tadi di Prince Court Medical Centre, Kuala Lumpur.

“Mohon doakan keampunan Allah pada beliau, dipermudahkan perjalanan di alam barzah dan mendapat ganjaran syurga di akhirat nanti.

“Mohon maafkan segala dosa-dosa beliau, halalkan makan minum dan tuntutlah pada keluarga sekiranya beliau ada hutang dengan tuan-tuan dan puan-puan.”

Dalam hantaran seterusnya, Wan Hakim memaklumkan jenazah ayahnya akan dikebumikan selepas solat zuhur hari ini.

“InsyaAllah jenazah arwah ayah saya akan disembahyangkan di Masjid Bukit Jelutong selepas sembahyang Zohor dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam selepas itu.”

Bekas ADUN Chukai itu mula dilantik menjadi Menteri Besar Terengganu pada September 1974 dan berjaya menyandang jawatan itu selama 25 tahun.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!