KOTA KINABALU – Bekas pemain bola sepak Sabah dan Sarawak, Bobby Chua meninggal dunia di kediamannya di sini, hari ini.
Berita sedih itu dikongsikan isterinya, Zafidah Yaakub menerusi laman Facebook yang memaklumkan suaminya meninggal dunia pada jam 2.25 petang tadi.
Katanya, jenazah Allahyarham Bobby yang memeluk Islam pada 2014 dikebumikan di Tuaran selepas selesai urusan jenazah di Surau Al-Mustafa, V19, Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), di sini.
“Assalamualaikum, suami saya (Zafidah Yaakub) yang tercinta, Bobby Chua Abdullah telah kembali ke rahmatullah lebih kurang jam 2.25 petang tadi.
“InsyaaAllah jenazah akan dibawa ke Surau Al Mustafa V19, KKIP barat Sepanggar untuk urusan jenazah dan akan segera dikebumikan di Tanah Pengkebumian Waqaf Kampung Kota (berhadapan dengan Masjid Kota), Tuaran,” katanya.
Bobby, 55, yang pernah menggerunkan lawan ketika beraksi di padang pada era 1980an dan 1990an, dilaporkan menghidap penyakit sklerosis lateral amiotrofik (ALS) sejak beberapa tahun lalu.
Difahamkan, bekas pemain tengah itu mengalami penurunan fungsi (degeneratif) pada sel saraf motorik yang berkembang dengan cepat disebabkan kerosakan sel saraf.
Penyakit itu juga dikenali sebagai penyakit neuron motor (MND) iaitu penyakit tertentu yang menyebabkan kematian neuron yang mengawal otot rangka.
ALS dicirikan oleh otot-otot yang sengit, otot berkeringat dan secara beransur-ansur memburuk kerana otot berkurang, mengakibatkan kesukaran bercakap, menelan dan akhirnya babitkan pernafasan.
Bobby yang berasal dari Inanam, di sini, menjadi pemain bola sepak profesional pada 1994 dan bermain untuk pasukan Sabah sehingga 1998 sebelum berhijrah ke Sarawak.
Perpindahan beliau ke Sarawak pada waktu itu pernah menjadi kontroversi apabila hanya dikenakan yuran RM9.95 oleh Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA).
Selama enam tahun bermain untuk Sarawak iaitu sehingga 2004, Bobby pernah diberi kepercayaan sebagai kapten pasukan dan menjadi antara pemain skuad Bujang Senang yang menyerlah ketika itu.
Leave a Reply