Blog Berita Online

Berita Utama

Bekas pemain ragbi kebangsaan, Hisham Abdul Rahman meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Arena ragbi negara kehilangan bekas pemain kebangsaan yang pernah menjadi Exco Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Hisham Abdul Rahman selepas beliau menghembuskan nafas terakhirnya, hari ini.

Allahyarham Hisham yang pernah mewakili pasukan kebangsaan pada era 70 hingga 80-an dan pernah beraksi di Kejohanan ARFU serta Sukan SEA 1979, kembali ke rahmatullah di pusat perubatan KPJ Damansara, pagi tadi pada usia 72 tahun.

“Dukacita dimaklumkan bahawa, Hisham Abdul Rahman, mantan Exco KRM di bawah Presiden Datuk Zaman Khan kembali ke rahmatullah sebentar tadi di KPJ Damansara.

“Allahyarham adalah bekas pemain ragbi kebangsaan era 70an dan 80an di posisi fullback dan pernah mewakili negara ke Kejohanan ARFU dan Sukan SEA 1979,” kata KRM dalam satu makluman kepada media.

“Allahyarham juga turut pernah menyandang jawatan naib presiden kehormat KRM di bawah Presiden Datuk Wira Amiruddin Embi dan dipilih sebagai Exco ARFU bagi sesi 2012/2013.

“Allahyarham juga seorang pemain yang aktif di peringkat kelab tempatan antaranya Anchorman dan mewakili UM Blues semasa menyambung pelajaran di Universiti Malaysia UM).”

Lahir pada 29 September 1950 di Johor Bahru, Allahyarham berhijrah dari Johor Bahru dan mula menyertai pasukan Cobra dan seterusnya ke Kelab Anchorman sebagai salah seorang pengasas kelab berkenaan dan kemudian menubuhkan Kuala Lumpur Rugby Union (KLRU).

“Allahyarham juga adalah mantan Pengarah Urusan TV3. Marilah kita sama-sama sedekahkan Al-Fatihah, semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” menurut kenyataan itu lagi.

Leave a Reply