Blog Berita Online

Berita Utama

Bekas vokalis Raihan diserang angin ahmar akibat kurang rehat

Kuala Lumpur: Isteri kepada penyanyi nasyid solo Ah Fad iaitu Nurul Sakinah Ibrahim meminta semua pihak agar mendoakan suaminya yang diserang strok agar kembali sembuh seperti biasa.

Sakinah, 34, berkata, keadaan suaminya kini stabil selepas dipindahkan dari zon merah ke wad biasa Hospital Selayang, semalam.

“Apabila sudah masuk wad biasa tiada siapa dapat melawat termasuk saya. Jadi agak susah untuk mendapatkan perkembangan terkini suami. Cuma, semalam doktor hubungi saya untuk beritahu keadaan suami. Ia sama juga seperti saya tengok di zon merah pada Jumaat lalu.

“Tekanan darahnya dah menurun cuma belum paras normal. Bacaannya masih 140 ke atas dan dikira masih tinggi,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, doktor akan mengawal bacaan tekanan darah kerana akan ada pendarahan lebih teruk di bahagian otak sebelah kiri.

“Semasa hari kejadian pada Khamis, dia mengadu tangan dan kaki kanan tiada rasa apa-apa serta tak boleh nak angkat. Tapi semasa jumpa Jumaat lalu, alhamdulillah dia sudah boleh angkat tangan kanan tapi tidaklah kuat.

“Namun kira ada keajaiban kerana kalau ikutkan proses untuk pulih agak lambat sebab baru dua hari dah ada perubahan begitu. Percakapannya sudah boleh difahami walaupun sebutannya tidak berapa jelas sangat,” katanya.

Nurul Sakinah berkata, suaminya diserang strok akibat tidak mendapat rehat yang cukup.

“Dia memang banyak urusan. Khamis lalu dia agak sibuk dan tiada rehat. Petang itu saya ikut dia ambil anak balik sekolah. Semasa isi minyak di Bandar Tasik Puteri, dia mula mengalami kebas kaki tangan kanan serta tidak boleh bergerak. Saya hubungi bapa yang tinggal di situ dan selepas itu kami hubungi ambulans yang membawanya ke Hospital Selayang,” katanya.

Ah Fad, 37, atau nama sebenarnya Zulfadli Mustaza pernah menganggotai kumpulan Raihan.

Leave a Reply