Berita Utama

Berhenti perbesarkan isu Khairuddin – Tuan Ibrahim

KOTA BHARU: PAS berharap kes Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kuarantin wajib tidak diperbesarkan kerana sudah dikenakan kompaun maksimum.

Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata kes berkenaan juga tidak membabitkan sebarang kluster COVID-19.

“Beliau sudah bayar kompaun maksimum RM1,000, dan kes ini tiada kluster. Dia sudah buat ujian dan bayar kompaun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyampaian sumbangan khas dan kit COVID-19 kepada sekolah-sekolah di peringkat Parlimen Kubang Kerian di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, Mohd Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus dikompaun RM1,000 atas kesalahan gagal menjalani kuarantin wajib sebaik pulang dari Turki pada 7 Julai lalu.

Mohd Khairuddin turut memohon maaf kepada rakyat Malaysia selain menyumbangkan gajinya sejak menjadi menteri kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (COVID-19).

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, Khairuddin sudah melakukan pengorbanannya dengan bertindak memulangkan gaji itu.

“Realitinya bukan ada kluster dia, yang pentingnya dia didenda dan pengorbanannya tolak semua gaji. Sepatutnya tak jadi isu,” katanya.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!